
Menteri belia dan sukan berkata MOM seharunys menyokong pendirian kerajaan semasa.
“Saya sudah maklumkan kepada pimpinan Majlis Olimpik Malaysia berkenaan pendirian kerajaan dan prasyarat yang kami letakkan supaya insiden seperti ini tidak akan berulang lagi,” katanya di Twitter.
Syed Saddiq menjawab kenyataan Datuk Mohd Nazifuddin Najib kepada FMT pada 18 Januari lepas.
Nazifuddin berkata larangan ke atas Israel boleh menyebabkan kejohanan antarabangsa diberi kepada negara lain, dan hubungan dengan badan-badan dunia seperti Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) “akan ada impak negatif”.
Beliau menambah IOC bimbang dengan keputusan Malaysia tidak menganjurkan acara melibatkan Israel kerana ia bercanggah dengan semangat Olimpik, di mana sukan tidak seharusnya dikaitkan dengan politik.
Semalam, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) melucutkan hak Malaysia menganjurkan Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang sepatutnya diadakan di Kuching, Sarawak dari 29 Julai-4 Ogos ini susulan larangan tersebut.
Putrajaya mempertahankan keputusannya, mengatakan ia atas dasar kemanusiaan dan belas kasihan terhadap nasib rakyat Palestin.
“Kami tidak akan berkompromi,” kata Syed Saddiq.
Malaysia bertegas menentang kerajaan Israel lebih penting daripada menganjurkan acara sukan antarabangsa.
“Jika penganjuran acara sukan antarabangsa lebih penting daripada menyokong saudara kami di Palestin yang dibunuh, dicacatkan dan diseksa rejim Netanyahu, itu bermakna Malaysia sudah hilang pedomannya.”