Malaysia bukan anti-Yahudi, kata Dr M

Malaysia bukan anti-Yahudi, kata Dr M

Perdana menteri berkata Malaysia berhak mengecam tingkah laku tidak berperikemanusiaan dan penindasan di mana sahaja ia berlaku.

Perdana menteri berkata Malaysia pernah mengkritik banyak negara dan orang kerana tindakan mereka yang tidak berperikemanusiaan.
PETALING JAYA:
Perdana menteri berkata Malaysia bukan anti-Yahudi atau anti-Semitik selepas ia melarang atlet Israel memasuki negara, tindakan yang menyebabkan hak menganjurkan satu kejohanan renang antarabangsa dilucutkan.

“Malaysia bukan anti-Yahudi atau anti-Semitik. Orang Arab juga orang Semitik. Tetapi kami berhak mengecam tingkah laku tidak berperikemanusiaan dan penindasan oleh mana-mana negara di mana sahaja ia berlaku,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad di blognya malam tadi.

Dr Mahathir berkata Malaysia juga mengecam Myanmar kerana layanan negara itu terhadap orang Rohingya, dan mengkritik “banyak negara dan orang-orang kerana tindakan mereka yang tidak berperikemanusiaan.”

“Ramai orang dan banyak negara mengecam kita. Tetapi kita tidak pernah dilabel ataupun melabel orang yang bersuara kerana ia hak dalam dunia yang bebas.”

Terdahulu, Dr Mahathir mempertahankan larangan Putrajaya ke atas atlet Israel yang mahu mengambil bahagian dalam satu acara sukan di Malaysia, mengatakan pendiriannya tentang konflik Israel tidak berubah walaupun negara pernah membenarkan olahragawan Israel memasuki Malaysia 2 dekad lalu.

Dia ditanya mengapa pentadbirannya pada 1997 membenarkan pasukan kriket Israel menyertai satu pertandingan antarabangsa di Kuala Lumpur.

Perdana menteri berkata olahragawan itu dibenarkan masuk kerana mahu menunjukkan orang Islam bukan pengganas.

Semalam, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) melucutkan hak Malaysia menganjurkan Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang sepatutnya diadakan di Kuching, Sarawak dari 29 Julai-4 Ogos ini susulan larangan tersebut.

Putrajaya mempertahankan keputusannya, mengatakan ia atas dasar kemanusiaan dan belas kasihan terhadap nasib rakyat Palestin.

“Kami tidak akan berkompromi,” kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.