Majlis Keselamatan PBB kecualikan sekatan untuk gali periuk api di sempadan Korea

Majlis Keselamatan PBB kecualikan sekatan untuk gali periuk api di sempadan Korea

Keputusan itu dibuat selepas Seoul meminta pengecualian bagi memastikan penghantaran peralatan ke negara komunis itu tidak terjejas.

Projek penggalian periuk api itu adalah bahagian utama dalam persetujuan ketenteraan antara 2 negara Korea tersebut. (Gambar Facebook)
SEOUL:
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) memberikan pengecualian sekatan bagi projek penggalian saki-baki bahan letupan seperti periuk api semasa Perang Korea di Zon Bebas Tentera antara Korea, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan sumber diplomatik pada Isnin.

UNSC membuat keputusan itu minggu lepas semasa Seoul meminta pengecualian tersebut bagi memastikan penghantaran peralatan ke negara komunis terbabit tidak terjejas ekoran sekatan anti-Pyongyang.

Kedua-dua negara Korea merancang melaksanakan projek di Arrowhead Ridge, sebuah lokasi pertempuran terkenal semasa konflik Perang Dingin 1950-1953, dari April hingga Oktober di bawah persetujuan ketenteraan 2 hala tahun lepas yang bertujuan mengurangkan ketegangan, mengekang pertempuran tidak sengaja dan membina kepercayaan.

Semasa rundingan peringkat umum antara Korea tahun lepas, Pyongyang meminta Seoul membekalkan peralatan bagi penggalian periuk api di bahagian Korea Utara di kawasan berkaitan dalam projek itu, kata sumber lain.

Sebagai respons, kementerian pertahanan Seoul berunding dengan kementerian luar mengenai sama ada pembekalan peralatan itu akan melanggar sekatan PBB.

Kementerian itu dilaporkan mempertimbang pembelian mesin pembersihan periuk api dari negara luar seperti GCS-100 buatan Switzerland, Minewolf (Jerman) dan MV-4 (Croatia), serta membekalkan satu daripadanya kepada Korea Utara dalam bentuk sewaan.

Semasa mesyuarat “kumpulan kerja” menerusi persidangan video yang berlangsung pada 17 Jan, Seoul dan Washington mencapai konsensus berhubung pengecualian sekatan bagi projek itu.

Projek penggalian itu adalah bahagian utama dalam persetujuan ketenteraan antara Korea.

Persetujuan itu termasuk satu siri pembinaan keyakinan serta langkah kawalan senjata api, termasuk melucutkan senjata di Kawasan Keselamatan Bersama, menarik balik beberapa pos kawalan di sempadan selain mewujudkan zon penimbal udara, maritim dan darat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.