
Syarhan Humaizi Halim memberitahu pemimpin DAP itu untuk membawa tuntutan maaf dan pampasan RM30 juta ke mahkamah.
Beliau membuat keputusan itu selepas berbincang dan jabatan undang-undang & hak asasi manusia parti Islam itu dan exco Pemuda PAs Selangor.
“Saya mempertahankan kenyataan saya membela dan menyatakan kebersamaan saya bahawa isi kandungan ceramah yang disampaikan oleh ketua Pemuda PAS Malaysia adalah benar.
“Dengan tegas juga menyatakan bahawa DAP adalah parti yang anti Islam dan termasuklah sebahagian pimpinannya menunjukkan sikap yang jelas anti pada Islam,” katanya dalam kenyataan.
Kok beberapa hari lalu menuntut Syarhan untuk membuat permohonan maaf dan pampasan RM30 juta atau berdepan tindakan undang-undang berhubung satu artikel yang dianggapnya fitnah selepas mendakwa dirinya sebagai menentang Islam.
Kok, dalam surat tuntutan menerusi firma guaman SN Nair & Partners bertarikh 23 Januari mendakwa Syarhan menulis dan menerbitkan satu artikel di laman peribadi Facebook pada 19 Januari lepas, yang berupa menghina dan menfitnah Kok.
Firma guaman itu berkata kandungan artikel itu dalam makna biasa dan semulajadi menggambarkan Kok sebagai menentang Islam, rasis dan seorang menteri yang tidak adil dan tidak jujur.
Ia mendakwa artikel itu tidak benar, menyakitkan hati, terlalu cuai, berniat jahat dan bertujuan untuk merendahkan maruah anak guamnya di mata orang ramai, baik secara tempatan mahupun antarabangsa.