Jangan bandingkan isu Palestin, menteri jawab kritikan larang atlet Israel

Jangan bandingkan isu Palestin, menteri jawab kritikan larang atlet Israel

Ia susulan IPC melucutkan hak Malaysia menganjurkan Kejohanan Renang Dunia Para 2019 di Sarawak, Julai ini.

Saifuddin Abdullah berkata Malaysia tidak akan membiarkan nasib mangsa penindasan lain seperti penganut Islam Rohingya di Myanmar.
PETALING JAYA:
Kerajaan berkata ia tegas dalam keputusan melarang atlet Israel daripada menyertai acara sukan di negara ini, walaupun Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) melucutkan hak Malaysia menganjurkan kejohanan renang dunia, Julai ini.

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah juga memberi maklum balas terhadap pengkritik yang mempersoal mengapa larangan yang sama tidak dikenakan ke atas atlet yang mewakili negara yang melanggar hak asasi manusia.

“Ya, mereka melanggar hak asasi manusia di negara lain. Buat masa sekarang, kita akan mengatakan bahawa cengkaman dan penindasan terhadap rakyat Palestin tidak boleh dibandingkan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Semalam, IPC mengumumkan ia melucutkan hak Malaysia menganjurkan Kejohanan Renang Dunia Para 2019 yang akan diadakan di Kuching pada Julai ini.

Ia susulan gesaan Israel menukar lokasi kejohanan jika IPC gagal memujuk Malaysia membatalkan larangan terhadap atletnya.

“Apabila negara tuan rumah mengecualikan atlet dari negara tertentu atas alasan politik, maka kami langsung tiada pilihan kecuali mencari tuan rumah baru,” kata Presiden IPC Andrew Parsons di London.

Saifuddin berkata hujah bahawa sukan tidak boleh dipolitikkan juga harus digunakan untuk Israel, yang sebelum ini melarang atlet Palestin.

“Bagaimanapun, isu Palestin bukan lagi soal politik biasa, ia adalah kes luar biasa,” katanya.

Saifuddin berkata Malaysia tidak akan membiarkan nasib mangsa penindasan lain seperti penganut Islam Rohingya di Myanmar.

Beliau berkata Putrajaya menyedari masalah minoriti di seluruh dunia sama ada Islam dan bukan Islam.

Mengenai tuduhan bahawa larangan Malaysia merupakan anti-Semitisme, Saifuddin berkata ia bukan sesuatu yang baru.

“Ini bukan kali pertama kami dituduh sebagai kerajaan anti-Semitik.

“Dasar kami berasaskan prinsip,” katanya, sambil menambah Malaysia akan meneruskan hubungan baiknya dengan semua negara, termasuk mereka yang mempunyai pandangan berbeza mengenai konflik Palestin.

“Sebagai contoh, kebelakangan ini terdapat beberapa negara, sama ada memindahkan kedutaan asing mereka ke Baitulmaqdis, atau telah mengumumkan rancangan mereka, tetapi masih belum berpindah.

“Semasa pertemuan dengan orang kenamaan dari negara-negara tersebut, kita menyebut kita tidak bersetuju dengan pendirian mereka, kerana kita mempunyai pandangan sendiri. Tetapi ini tidak bermakna kita tidak lagi menjalinkan perdagangan dengan mereka atau mengekalkan hubungan baik dengan mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.