SPR akan ambil tindakan sesuai terhadap Manogaran, kata Azhar

SPR akan ambil tindakan sesuai terhadap Manogaran, kata Azhar

Bersih menggesa SPR membuat laporan polis terhadap calon PH kerana melanggar peraturan pilihan raya.

Manogaran diiring keluar dari pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Senderut di Kuala Lipis selepas beliau dilihat memakai seragam parti oleh pegawai SPR.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini berkata, ia akan mengambil “tindakan bersesuaian” terhadap calon Pakatan Harapan (PH) yang tewas, M Manogaran berhubung dakwaan melanggar peraturan pilihan raya dengan memakai baju dengan logo parti di satu pusat mengundi di Cameron Highlands, semalam.

Pengerusi SPR, Azhar Harun berkata, beliau telah mengarahkan sekretariat dan jabatan undang-undang badan itu mengumpulkan fakta berkaitan insiden tersebut.

Ketika ditanya sama ada SPR akan membuat laporan polis terhadap Manogaran, beliau berkata, SPR akan menimbangkan langkah yang sesuai.

“Tentu sekali, kita akan ambil langkah sesuai terhadap semua kesalahan yang kita tahu,” katanya kepada FMT.

Azhar memberi respons terhadap gesaan pemantau pilihan raya, Bersih, supaya membuat laporan polis terhadap Manogaran.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu juga mahu polis dan Pejabat Peguam Negara mengambil tindakan.

Manogaran diiring keluar dari pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Senderut di Kuala Lipis selepas beliau dilihat memakai seragam parti oleh pegawai SPR.

Calon PH itu kemudiannya meminta maaf dengan berkata, beliau tidak menyedari masih memakai baju parti setelah 2 minggu memakainya dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) itu.

Memakai apa-apa pakaian dengan logo parti dalam jarak 50 meter dari pusat mengundi merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 26 (1) Akta Pilihan Raya.

Semalam, calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Nor memenangi PRK Cameron Highlands selepas mendapat 12,038 undi mengalahkan Manogaran (8,800 undi) dan 2 calon Bebas, Sallehuddin Ab Talib (314) dan Wong Seng Yee (276).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.