
Bekas perdana menteri itu berkata, BN hanya bercakap dan mempertahankan hak Melayu dan bukan Melayu.
“Kalau kita main isu perkauman, ada juga orang Cina, orang India sokong kita.
“Jadi tak mungkin mereka akan sokong kalau kita main isu perkauman. Umno tidak pernah berdiri atas platform perkauman,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah pelawak Ebby Yus di Kampung Baru di sini, hari ini.
Ebby, 54 atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid menghidap masalah jantung dan buah pinggang.
Semalam, calon Pakatan Harapan (PH) di Cameron Highlands, M Manogaran menakwa kekalahannya dalam pilihan raya kecil Cameron Highlands disebabkan kempen perkauman BN.
Beliau yang kalah kali ke-3 di kerusi Parlimen berkata, pencapaian PH lebih baik di kubu kuat BN seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN)Jelai, walaupun gagal dalam usaha merampas kerusi tersebut.
Najib turut menyindir kekalahan kali ketiga Manogaran dalam pilihan raya itu.
“Dia tak serik kalah,” katanya sinis.
Dalam pada itu, Najib turut berharap kerajaan dapat membantu artis yang memerlukan pertolongan seperti Ebby Yus.
“Semasa saya dulu, ada yayasan. Yayasan 1Malaysia yang membantu artis yang dikendalikan artis sendiri.
“Saya bagi dana dari semasa ke semasa. Saya harap yayasan ini dapat diteruskan,” katanya.
Semalam BN berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan majoriti lebih besar selepas calonnya, Ramli Mohd Nor, mencatat sejarah menjadi wakil Orang Asli pertama di Dewan Rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bekas pegawai kanan polis itu mendapat 12,038 undi, menewaskan pencabar terdekat daripada Pakatan Harapan (PH), M Manogaran yang memperolehi 8,800 undi, manakala 2 calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee masing-masing mendapat 314 undi serta 276 undi.
Majoriti 3,238 undi yang diperolehi BN hari ini adalah yang tertinggi sejak pilihan raya umum pada 2008, 2013 dan 2018, iaitu masing-masing sebanyak 3,117 undi, 462 undi dan 597 undi.