
Bekas perdana menteri itu yang giat berkempen untuk BN sejak 2 minggu lalu turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang memilih BN.
“Alhamdulillah, jutaan terima kasih kerana memberi peluang, keyakinan dan kepercayaan kepada BN. Moga Allah melimpahkan kita semua dengan sebaik keberkatan dan kebaikan. Insya Allah,” katanya kepada FMT selepas kemenangan BN malam ini.
Najib kemudiannya menerusi catatan di Facebook mendakwa rakyat muak dengan penipuan dan fitnah PH yang langsung tidak membawa sebarang kebaikan kepada mereka.
“Mereka silap. Mereka fikir rakyat tidak tahu menilai. Hari ini, rakyat menghantar mesej yang jelas kepada PH.
“Kemenangan kepada Barisan Nasional ini bermakna PH ditolak rakyat.
“Ini adalah kemenangan rakyat!”
Calon BN, Ramli Mohd Nor mendapat 12,038 undi, menewaskan pencabar terdekatnya M Manogaran daripada PH yang memperolehi 8,800 undi, manakala 2 calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee masing-masing mendapat 314 undi serta 276 undi.
Kelebihan 3,238 undi yang diperolehi BN hari ini adalah yang tertinggi sejak pilihan raya umum 2008, 2013 dan 2018, iaitu 3,117 undi, 462 undi serta 597 undi.
Najib yakin Ramli yang merupakan wakil rakyat Orang Asli pertama mampu membawa kemajuan kepada Cameron Highlands.
Ahli Parlimen Pekan itu mengucapkan tahniah kepada pucuk pimpinan dan parti komponen BN serta menghargai sokongan pemimpin dan ahli PAS yang turut membantu kempen parti itu.
Sementara itu, Datuk C Sivarraajh yang hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen Cameron Highlands sehingga menyebabkan PRK diadakan hari ini berkata, kemenangan BN ialah bukti kira-kira 22% pengundi Orang Asli sentiasa menyokong parti itu.
“Sekarang orang ramai boleh melihat pengundi di Cameron Highlands selalu menyokong BN khususnya Orang Asli. Corak mengundi hari ini adalah sama dalam PRU13 dan PRU14.
“Ianya juga menunjukkan tidak perlu kita membeli undi daripada Orang Asli,” kata naib presiden MIC itu yang menang dengan majoriti 597 undi dalam pertandingan 5 penjuru pada PRU14 lalu.