
Memetik sumber, akhbar South China Morning Post (SCMP) melaporkan bahawa SC mahu melihat sama ada 2 firma itu berperanan “membantu dan bersekongkol dalam skandal itu atau hanya cuai”.
“Akauntan mereka mesti dipertanggungjawabkan,” lapor akhbar itu memetik sumber.
SC bagaimanapun enggan menjawab soalan apabila diminta mengesahkan penyiasatan itu dan hanya memberitahu SCMP bahawa semakannya ke atas “tingkah laku juruaudit berhubung audit 1MDB masih berjalan”.
Menurut laporan itu lagi, Deloitte dan KPMG enggan memberi komen.
Deloitte merupakan juruaudit ketiga 1MDB, selepas Ernst & Young LLP dan KPMG.
Pada 2016, Deloitte menarik diri sewaktu skandal kewangan firma pelaburan negara yang dilanda hutang itu mendapat perhatian media di seluruh dunia.
KPMG bertanggungjawab ke atas akaun firma berkenaan bagi tahun 2010, 2011 dan 2012, sementara Deloitte mengurus penyata kewangannya bagi tahun 2013 dan 2014.
Pada Jun tahun lepas, KPMG berkata, penyata kewangan bagi tahun kewangan yang berakhir pada Mac 2010, 2011 dan 2012 tidak memaparkan penilaian yang benar dan adil mengenai 1MDB.
Pada Ogos tahun yang sama, dilaporkan bahawa Institut Akauntan Malaysia (MIA) menyiasat 2 firma tersebut. Pada November, ia menyiapkan siasatannya ke atas Deloitte dan merujukkan kes berkenaan kepada jawatankuasa disiplin.
SCMP memetik aktivis anti-rasuah Cynthia Gabriel yang berkata bahawa firma audit berkenaan merupakan “pihak yang terlibat dalam penipuan tersebut”.
“Individu terbabit mesti dihukum. Bukti salah laku telah diketengahkan – laporan ketua audit negara, laporan jawatankuasa wang awam.
“Malah KPMG cuba menarik balik laporan audit 2011-2012,” Cynthia, yang merupakan pengarah eksekutif Center to Combat Corruption and Cronyism (C4), dilaporkan berkata.
Sumber juga memberitahu SCMP bahawa mereka percaya KPMG mungkin sedang merundingkan “penyelesaian” dengan pihak berkuasa Malaysia.