
Timbalan pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Kartini Aboo Talib Khalid berkata, kes sedemikian hanyalah “sendawa” dan tidak merupakan sesuatau yang lazim berlaku dalam hidup rakyat biasa.
Bercakap kepada FMT, beliau berkata, rakyat umum mengalami satu bentuk “ketegangan stabil” yang menyaksikan mereka tidak mengambil pilihan keganasan sebagai reaksi terhadap gangguan dalam keharmonian sosial.
Sebaliknya kata Kartini, rakyat Malaysia akan mengeluh tentang insiden sedemikian di media sosial dan kedai kopi, dan kehidupan akan berjalan seperti biasa selepas itu.
Katanya, walaupun pemilik hartanah berhak menyewakan rumah mereka kepada penyewa yang disukai, prinsip demokratik yang sama juga mestilah melindungi hak orang yang didiskriminasi atau dinafikan hak asasi manusia mereka.
Kartini berkata, masalah pihak yang berhadapan dengan kesukaran sedemikian hendaklah diperiksa oleh suruhanjaya timbang tara kerajaan atau mana-mana agensi yang mengkhusus dalam “persefahaman etnik atau budaya”, yang menurutnya boleh dipimpin oleh pakar kebudayaan.
“Sendawa sosial sebegini (tuan rumah bersikap perkauman) hanya berlaku pada ketika tertentu, ia bukanlah sesuatu yang kita jumpa setiap hari.
“Akan tetapi perlu difahami bahawa konsep kebersamaan negara kita ialah mengenai keutuhan, bukan perpaduan. Justeru kita berhadapan beberapa isu yang dikenali sebagai ketegangan stabil,” katanya.

Kartini mentakrifkan ketegangan stabil sebagai satu bentuk defisit sosial yang merangkumi agama, bahasa, etnik, jurang antara generasi, gender kelas dan ekonomi.
“Inilah adalah petunjuk yang sering menjadi isu yang mencetuskan gangguan terhadap keharmonian sosial kita,” katanya.
Beliau berkata, bagi mengatasi masalah tersebut, perubahan perlu berlaku dalam asuhan keluarga, pendidikan, imej positif media serta laporan dan kempen sosial bagi merapatkan jurang yang wujud antara kaum.
Dalam pada itu, Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia percaya apabila negara menjadi lebih maju dan terpelajar, warganya juga akan lebih bersikap menerima antara satu sama lain.
Katanya, insiden yang berlaku merupakan petunjuk bahawa komuniti berhadapan krisis identiti sebagai manusia.
Sivamurugan berkata, punca masalah ialah generalisasi pengalaman masing-masing dengan kaum tertentu dan kemudiannya penggunaan prejudis daripada pengalaman itu terhadap anggota kumpulan atau kaum terbabit.
Beliau berkata, keadaan ini membawa kepada fenomena etnosentrik yang menyaksikan seseorang “tidak berasa bersalah” mengenainya.
“Ini adalah rasisme, iatu apabila mereka berasa lebih tinggi atau mulia daripada orang lain,” kata profesor sosiologi politik itu ketika dihubungi.
Dua ahli akademik itu diminta memberi komen berhubung 2 kes terbaru pencari rumah atau bilik sewa ditolak kerana tidak sebangsa dengan tuan rumah.