
Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan di Facebook pada Jumaat berkata “ia memang idea yang baik untuk menggerakkan para pegawai kita untuk segera mengambil langkah susulan mengenai apa yang dipersetujui oleh kedua-dua menteri berhubung perkara itu”.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke berkata Malaysia mengemukakan cadangan balas kepada Singapura untuk memendekkan tempoh penggantungan kawasan larangan dan tatacara baru di Lapangan Terbang Seletar.
Loke dilapor berkata Khaw pada 23 Januari mencadangkan tempoh penggantungan dilanjutkan semasa mengadakan pertemuan dengan beliau di republik itu.
Justeru, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menyelaraskan dan menerbitkan notis baru kepada Juruterbang (NOTAMs) serentak pada 6.00 petang hari ini, bagi melaksanakan keputusan itu, menurut catatan Khaw.
“Saya gembira melihat kedua pengawal selia itu bekerja bersama demi keselamatan dan kecekapan penerbangan awam di ruang udara kita yang sesak,” tulisnya lagi.
Pada 8 Januari, Malaysia dan Singapura bersetuju untuk kedua-dua pihak segera dan secara serentak menggantung RA di ruang udara Pasir Gudang dan pelaksanaan tatacara ILS di Lapangan Terbang Seletar untuk tempoh 1 bulan.
Kedua-dua menteri akan bertemu lagi, selepas 5 Februari (Tahun Baru Cina) untuk meneruskan perbincangan berhubung ruang udara.