Putrajaya tolak cadangan Singapura lanjut larangan terbang sehingga Mei

Putrajaya tolak cadangan Singapura lanjut larangan terbang sehingga Mei

Perdana menteri hanya bersetuju untuk penangguhan kawasan larangan kekal ruang udara dan ILS dilanjutkan sehingga 31 Mac.

Malaysia dan Singapura mencapai persetujuan untuk menangguhkan pewujudan RA di ruang udara Pasir Gudang dan pelaksanaan ILS di Lapangan Terbang Seletar. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Cadangan Singapura untuk penangguhan larangan kekal (RA) di ruang udara Pasir Gudang, Johor dan pelaksanaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) di Lapangan Terbang Seletar dilanjutkan sehingga 31 Mei, ditolak perdana menteri.

Keputusan itu disampaikan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook yang memaklumkan mesyuarat Kabinet bersama Tun Dr Mahathir Mohamad hanya bersetuju untuk penangguhan kawasan RA dan ILS dilanjutkan sehingga 31 Mac depan.

“Beliau (menteri pengangkutan Singapura) cadangkan supaya tempoh pengantungan RA dan ILS dan juga kawasan larangan kepada tarikh 31 Mei. Saya kata kepadanya akan bawa cadangannya itu dan sudah laporkan kepada Kabinet pada Khamis, iaitu semalam.

“Tetapi perdana menteri kata tempoh itu sedikit panjang dan minta kita pendekkan tempoh berkenaan. Pagi tadi saya sudah hubungi Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur untuk cadangan semula, iaitu tangguh sehingga 31 Mac ini.

“Terpulang kepada Singapura sama ada setuju atau tidak. Kalau Singapura setuju, kita boleh adakan 1 surat mengenai penggantungan ILS, tetapi ia belum dimuktamadkan lagi,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Loke sebelum itu berkata, beliau mengadakan pertemuan 4 mata dengan menteri pengangkutan Singapura bagi membincangkan pelbagai isu termasuk ruang udara pesawat antara kedua-dua negara.

“Saya adakan pertemuan 4 mata atas permintaan beliau dan saya setuju. Memang ada perbincangan yang baik, kita adakan pertemuan hampir 1 jam dan pelbagai isu kita bincangkan dan kedua-dua kami ada semangat positif untuk selesaikan isu penerbangan ini,” katanya.

Kementerian Luar Malaysia dan Singapura, pada 8 Januari lalu mencapai persetujuan bersama untuk menangguhkan pewujudan RA di ruang udara Pasir Gudang dan pelaksanaan tatacara ILS di Lapangan Terbang Seletar.

Penangguhan pewujudan RA di ruang udara Pasir Gudang dan tatacara ILS itu berkuat kuasa serta merta secara bersama untuk tempoh sebulan sebagai permulaan.

Sementara itu, Loke turut memaklumkan syarikat konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Berhad berminat untuk membantu kementeriannya memasang kamera sistem penguatkuasaan automatik (AES).

Bagaimanapun, cadangan PLUS itu akan dikaji terlebih dahulu dan menegaskan sistem pengurusan kamera AES itu akan diuruskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan bukannya mana-mana pihak lain.

“Ia adalah tanggungjawab sosial korporat PLUS, mereka tidak akan dapat satu sen dari kerajaan. Namun setakat ini belum ada keputusan di mana ia perlu dipasang, lokasi kamera mesti ditentukan JPJ dengan kajian dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros),” katanya.

Terdahulu, PLUS menyatakan akan menghantar kertas cadangan kepada kerajaan untuk memasang kamera had laju di Jambatan Pulau Pinang selain menambah kamera itu di beberapa lokasi lain di 6 lebuh raya kendalian syarikat itu.

Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail, berkata buat masa ini Jambatan Pulau Pinang tidak mempunyai kamera had laju dan cadangan pemasangan itu bertujuan mengelak kemalangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.