
Perdana menteri membandingkan penolakan terhadap Israel seperti rakyat menolak Barisan Nasional pada pilihan raya umum lalu, katanya Malaysia tidak akan menerima “penyangak”, sama ada Israel atau Datuk Seri Najib Razak.
“Masa Najib dulu, orang Israel nak hantar wakil dia terima. Tapi kita tak benarkan orang Israel ambil bahagian dalam acara renang di sini.
“Sebabnya, Israel ini penyangak, sama macam Najib. Tengok bagaimana Israel curi tanah orang Palestin dan buat bangunan di situ. Tak pernah dalam dunia kita boleh buat bangunan di negara orang lain dan terus duduk di situ,” katanya ketika berceramah di Sungai Koyan hari ini.
Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, walaupun media negara itu pernah melapor mengenai hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.
Pada Februari tahun lalu, Malaysia selaku tuan rumah Forum Urban Dunia (WUF) menerima 6 orang delegasi Israel.
Awal bulan ini, kerajaan melarang pasukan renang paralimpik Israel memasuki negara untuk Kejohanan Renang Para Dunia di Sarawak pada Julai.
Minggu lepas, kerajaan melarang rakyat Israel menyertai acara yang dianjurkan Malaysia, dan Malaysia tidak lagi akan menganjurkan acara dengan perwakilan atau penyertaan Israel.
‘Troll’ Najib untuk raih simpati
Dr Mahathir menambah tindakan Najib yang dilihat menjuarai kaki “troll” dengan membangkitkan kelemahan kerajaan sebagai tidak lebih daripada menagih simpati rakyat.
“Dia cari simpati orang, dia tuduh dia kena aniaya tapi dulu masa jadi perdana menteri, seseorang belum didakwa lagi sudah disuruh pakai baju oren, Datuk Seri Shafie Apdal belum didakwa kena pakai baju oren.
“Orang lain semua kena pakai baju oren, tapi zaman kita bagi kelongaran kepada dia (Najib), sudah berapa bulan kena dakwa tapi bebas lagi, macam-macam cerita dibuat nak cari sokongan. Fikir tengok lah orang jenis ini boleh percaya ke tidak dia curi duit,” katanya.
Jangan undi ikut kaum
Dr Mahathir juga menyifatkan pemilihan M Manogaran sebagai calon pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands adalah tepat, menolak dakwaan Umno mengatakan beliau tidak yakin dengan kemenangan Pakatan Harapan (PH).
Ditanya jika pemilihan Manogaran tidak sesuai di Jelai di mana majoriti pengundinya adalah orang Melayu, Dr Mahathir berkata soal kaum tidak seharusnya timbul.
Katanya, jika ia menjadi ukuran dengan memilih calon mengikut kaum, calon yang akan mewakili orang Melayu tidak akan menang jika bertanding di tempat majoriti bukan Melayu.
“Kadang-kadang di tempat lain orang India terpaksa sokong orang Melayu. Di sini orang Melayu sokong orang India. Tapi kalau kita tak sokong dia (bukan Melayu) , di tempat lain dia tak sokong kita (Melayu), maka kita akan kalah,” katanya.