Badan pemikir jangka BN menang dengan peningkatan undi Melayu

Badan pemikir jangka BN menang dengan peningkatan undi Melayu

Ilham Centre berkata majoriti Melayu dan Orang Asli akan mendokong calon BN kerana isu berkaitan sensitiviti Melayu-Islam, Felda dan sokongan Orang Asli.

PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir hari ini menjangka Barisan Nasional akan menang pilihan raya kecil Cameron Highlands dengan peningkatan undi Melayu.

Ilham Centre berkata majoriti Melayu dan Orang Asli akan mendokong calon BN, Ramli Mohd Nor kerana didorong isu berkaitan sensitiviti Melayu-Islam, Felda dan sokongan Orang Asli.

Penemuan itu berdasarkan tinjauan tatap muka dalam tempoh 22-24 Januari melibatkan 402 responden di Cameron Highlands, meliputi semua segmentasi kaum, jantina and umur pengundi serta lokaliti.

Badan pemikir itu berkata sikap defensif dan kelemahan PH dalam soal Melayu-Islam diguna sebaiknya oleh BN untuk mempengaruhi orang Melayu menolak gabungan itu.

“Jika sebelum pilihan raya umum yang lalu kerisauan mereka PH akan mempengaruhi hak orang Melayu dan memudaratkan Islam.

“Namun ianya seolah-olah terbukti apabila satu demi satu isu Melayu dan Islam gagal ditangani dan ditangkis oleh PH,” katanya dalam kenyataan.

Ilham Centre berkata warga Felda pula merungut kerajaan tidak bersungguh membantu mereka apabila harga komoditi sawit jatuh merudum sejak PH mengambil alih Putrajaya.

“Wujud tafsiran PH sengaja berbuat demikian untuk membalas dendam pada peneroka yang memilih BN pada pilihan raya lepas,” katanya.

Badan pemikir itu berkata warga Felda juga tidak berpuas hati dengan isu perumahan yang tidak selesai.

“Menjadi tanda tanya buat penduduk setempat bilakah janji-janji kepada peneroka sebelum pilihan raya lalu ingin ditunaikan walaupun sudah 9 bulan memegang tampuk kuasa,” katanya.

PAS dan Orang Asli

Menguatkan lagi kedudukan BN adalah peranan PAS dalam kempen gabungan itu. Ilham Centre meramalkan pengundi PAS akan berpecah, tetapi tiada satu pun untuk Pakatan Harapan.

Badan pemikir berkata sejarah perseteruan BN-PAS tidak jadi perkiraan utama dalam kalangan pengundi PAS di luar bandar, terutama di pantai timur Semenanjung.

“Sebilangan besar pengundi PAS yang kami temui tidak berasa kekok untuk keluar mengundi BN.

“Pada mereka mengikut arahan pimpinan lebih utama daripada memikirkan pendapat peribadi,” katanya.

Mengenai undi Orang Asli, yang membentuk 22% daripada pengundi Cameron Highlands, Ilham Centre menjangkakan akan berlaku pergerakan undi kepada PH “namun ianya masih dalam skala yang kecil”.

“Untuk memenangi pilihan raya, PH memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 30% daripada mereka.”

Najib dan Dr M

Mengenai pengaruh personaliti, Ilham Centre menarik perhatian kepada kehadiran 2 pemimpin politik, iaitu Datuk Seri Najib Razak, yang popular di Pahang, dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang turun pada hari terakhir kempen.

Badan pemikir itu kedatangan Dr Mahathir pada hari terakhir kempen menunjukkan PH memerlukan faktor penarik undi Melayu dan dijangka akan menambah momentum gabungan itu.

“Khususnya kepada pengundi veteran Umno yang ada nostalgia dengan pentadbiran Dr Mahathir selama 22 tahun sebelum ini. Jika momentum ini cukup kuat, peluang PH akan bertambah sedikit,” katanya.

Mengenai Najib, Ilham mendapati aura anak jati Pahang itu ternyata masih dirasai penduduk setempat.

“Kes-kes pendakwaannya di mahkamah tidak memberi kesan negatif di lokaliti ini,” katanya.

Ilham memberi amaran kehadiran Najib boleh memakan diri Barisan Nasional dalam kalangan pengundi kelas pertengahan, “namun jumlah ini adalah kecil dan tidak memberi impak”.

Peluang PH

Sementara itu, Ilham Centre berkata PH mampu menyaingi BN di Cameron Highlands kerana peratusan pengundi Cina dan India yang tinggi.

Namun begitu, trend peratusan kelur mengundi pengundi bukan Melayu dalam siri PRK sebelum ini agak rendah.

“Jika fenomena ini berterusan peluang PH untuk menang semakin malap,” katanya.

Turut memberi kesan kepada faktor kelur mengundi adalah tarikh mengundi yang berdekatan cuti panjang Tahun Baru Cina.

“Rata-rata yang kami temui menyatakan anak-anak mereka yang bekerja di luar kawasan sukar untuk balik mengundi pada Sabtu ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.