AS arah pegawai kurang penting keluar dari Venezuela

AS arah pegawai kurang penting keluar dari Venezuela

Sebelum ini, Presiden Venezuela, Nicolas Maduro memutuskan hubungan dengan Washington dan memberi tempoh 72 jam kepada diplomat AS meninggalkan negara itu.

Jabatan Negara AS berkata, ia mempunyai keupayaan terhad untuk menyediakan perkhidmatan kecemasan kepada warga AS di Venezuela. (Gambar AFP)
ANKARA:
Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengarahkan semua pegawai kerajaan kurang penting meninggalkan Venezuela serta mengeluarkan amaran keselamatan kepada rakyatnya yang berada di Caracas di tengah-tengah ketegangan antara kedua-dua negara.

“Kerajaan AS mempunyai keupayaan terhad untuk menyediakan perkhidmatan kecemasan kepada warga AS di Venezuela,” lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan Jabatan Negara AS.

Warga Amerika dinasihatkan menghubungi kedutaan di Caracas untuk sebarang bantuan.

Tambah kenyataan itu lagi rakyat Amerika yang menetap atau mengunjungi Venezuela perlu “sangat mempertimbangkan” untuk meninggalkan negara itu, sementara masih terdapat perkhidmatan penerbangan komersial.

Mereka yang memilih untuk tinggal dinasihat agar memastikan bekalan keperluan mencukupi dan senantiasa mengikuti perkembangan terbaru berhubung perkara terbabit.

Langkah AS diambil selepas pemimpin pembangkang Venezuela, Juan Guaido pada Rabu mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara negara itu, selepas ribuan penunjuk perasaan berarak menentang penggal baru pemerintahan Nicolas Maduro.

Sejurus itu, Presiden Donald Trump mengumumkan AS mengiktiraf Guaido sebagai pemimpin negara yang sah.

Sebelum ini, Presiden Venezuela, Nicolas Maduro memutuskan hubungan diplomatik dengan Washington dan memberi tempoh 72 jam kepada diplomat AS untuk meninggalkan negara itu.

Washington tidak mengendahkannya dan mengatakan pegawai diplomatik akan terus tinggal di negara itu atas jemputan Guaido.

Semua anggota diplomatik Venezuela di AS akan pulang ke negara asal pada Sabtu berikutan penutupan kedutaan dan konsulatnya, kata Maduro semasa berucap di Caracas.

Selain AS, negara yang turut menyuarakan sokongan terhadap Guaido ialah Kanada dan beberapa negara Amerika Latin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.