Saya tidak tahu sama ada kontrak ECRL dibatalkan, kata Dr Mahathir

Saya tidak tahu sama ada kontrak ECRL dibatalkan, kata Dr Mahathir

Isu kontrak itu baru ingin dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Dr Mahathir bersalaman dengan hadirin pada majlis pelancaran skim perlindungan insurans di Kementerian Kewangan hari ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak tahu menahu tentang dakwaan mengenai penamatan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pelaksanaan (EPCC) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) seperti dilaporkan oleh sebuah akhbar harian Singapura.

Dr Mahathir berkata, perkara itu baru hendak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

“Saya tak tahu (ia) ditamatkan atau tidak. Tetapi satu daripada cara kita tangani masalah ini adalah dengan tamatkan kontrak.

“Tetapi bila tamatkan kontrak kena bayar pampasan yang banyak, billion,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis pelancaran Skim Perlindungan Nasional B40 mySalam di Kementerian Kewangan, hari ini.

Baru-baru ini, akhbar Straits TImes (ST) yang memetik sumber melaporkan Putrajaya telah menamatkan kontrak EPCC bagi projek ECRL, dan sedang menacari kontaktor baru untuk membina ECRL pada separuh harga asalnya sebanyak RM81 bilion.

Kontrak tersebut sebelum ini telah dianugerahkan kepada kontraktor dari China, China Communications Construction Co Ltd (CCCC).

Syarikat tersebut sebelum ini diarahkan untuk menghentikan semua kerja dan perkhidmatan projek ECRL oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 3 Julai lalu sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Lim ketika sidang media 18 Januari lepas enggan mengulas mengenai isu tersebut.

ECRL merupakan salah satu daripada beberapa projek mega yang sedang dikaji semula oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ia bertujuan untuk menghubungkan Pelabuhan Kuantan dengan Pelabuhan Kelang yang akan membolehkan kapal kargo mengindari Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.