
Rakyat Malaysia ada yang terkesima dan ternganga menonton video memaparkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong, Peguam Negara Tommy Thomas dan Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malunjum, antara lain, dilihat sedang berdansa ria bersama peguam bela dan peguam Siti Kasim dan Datuk Ambiga Sreenavasan pada malam Gala yang dianjurkan bersempena Pembukaan Tahun Perundangan 2019.
Sebenarnya tiada isu berkenaan tarian dansa ria tersebut kerana Malaysia adalah negara majoriti Islam yang menghormati semua budaya. Disebabkan ini, Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara paling aman di dunia oleh Indeks Keamanan Global pada 2018. Akan tetapi, adakah beretika bagi hakim dan pegawai perundangan tinggi kerajaan secara terbuka bergaul dengan peguam peribadi?
Tidak lama dulu, Liew, menteri undang-undang ada membuat kenyataan mengenai isu Kursus Bar Umum (CBC). CBC ini sedang dinilai oleh kerajaan bagi menggantikan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).
Graduan undang-undang dari universiti yang belum diiktiraf oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang (LPQB) dikehendaki untuk lulus peperiksaan CLP bagi melayakkan diri sebagai “orang-orang berkelayakan” di bawah Seksyen 3 Akta Profesion Undang-undang 1976 – syarat sebelum menjalani latihan dalam kamar selama 9 bulan.
Sewaktu latihan selama 9 bulan tersebut, pelatih dikehendaki mempelajari sisi praktikal dunia guaman dan menduduki ujian “kursus etika” kerana tanpanya, pelatih tidak akan boleh didaftar sebagai peguam bela dan peguam cara setelah tempoh 9 bulan berakhir.
Pokoknya, syarat kemasukan ke BAR Malaysia ini dibikin sulit dan payah bagi menjaga ketinggian dan prestij status profesion undang-undang serta memastikan etika profesional dipatuhi setiap masa.
Pada 2016, tular video memaparkan seorang lelaki menyerupai bekas peguam negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali sedang berdansa ria bersama bekas menteri dari kerajaan Barisan Nasional (BN). Seorang peguam terkenal, Mohamed Haniff Khatri lantas tanpa membuang masa mengkritik perlakuan ini dengan menyatakan ia tidak patut dilakukan oleh seorang peguam negara.
Pada 2008, Timbalan Pendakwa Raya, Salehuddin Saidin yang bertanggungjawab ke atas kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu digantikan dengan timbalan pendakwa raya lain kerana beliau dilihat bermain badminton dengan hakim yang menghakimi kes tersebut, Datuk Mohd Zaki Md Yasin.
Pada 2017, Siti Kasim didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam sewaktu serbuan dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dilakukan ke atas pertandingan “Ratu Cantik” anjuran golongan maknyah dan transgender pada 2016.
Adakah patut bagi seorang yang sedang menjalani perbicaraan di mahkamah dilihat berdansa (dan bergaul) dengan hakim dan pendakwa raya raya yang lantas boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap integriti profesion ini di mata masyarakat?
Seksyen 5 Kod Etika Hakim 2009 menyebut seorang hakim perlu melaksanakan tugasnya secara bebas tanpa apa-apa pengaruh dari mana-mana pihak. Selain itu, Seksyen 8 (2) Kod yang sama memperuntukkan seorang hakim perlu meminimumkan risiko konflik kepentingan dengan tanggungjawab kehakimannya sewaktu menjalani tugas di luar bidang kehakiman dengan menghindar daripada bergaul rapat dengan individu dalam profesion undang-undang, yang mana boleh menimbulkan keraguan munasabah yang menjurus kepada penghakiman berat sebelah. Lord Hewart dalam kes R v Sussex Justices ada menyebut bahawa “keadilan bukan sahaja mesti dijalankan, malah perlu dilihat sudah dijalankan”.
Banyak komentar di luar sana yang dilihat terkeliru. Isu di sini bukanlah isu tarian, tetapi lebih kepada siapa yang menari di pentas yang sama. Bekas peguam negara dikritik kerana menari bersama menteri BN sewaktu sambutan Merdeka pada 2016. Apa bezanya dengan yang berlaku sekarang ini?
Rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi kepada Malaysia Baru bagi memperbetulkan kesalahan Malaysia Lama. Sekiranya Malaysia Baru masih mengamalkan amalan tidak betul yang diwarisi dari pemerintahan sebelum ini, apa gunanya rakyat ubah pemimpin?
Pelajar undang-undang diwajibkan untuk menjalani latihan dalam kamar yang sulit penuh dengan cabaran serta diajar dengan kepentingan etika kepeguaman secara berulang-ulang bagi menyanjung tinggi prestij profesion ini.
Mungkin tiba masanya “pihak berkuasa di atas sana” mempertimbangkan untuk mengulangkaji semula kitab undang-undang yang pernah mereka pelajari bagi benar-benar mengamalkan apa yang diajarkan secara profesional.
Pepatah Melayu ada menyatakan, “kata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih”. Jangan sekadar cakap tak serupa bikin semata-mata.
Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.