
Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, hasil muafakat Barisan Nasional dan PAS kali ini menggusarkan PH yang “tidak menentu, tiada hala tuju serta berbalah sesama sendiri”.
“Kempen kali ini makin rancak, panas dan menunjukkan kepada kita bagaimana pertembungan 2 pihak akan menjadi pertembungan yang akan menentukan hala tuju politik negara,” katanya di Pidato Pemuda PAS-Umno di Tanah Rata, di sini.
“PRK ini merupakan isyarat kepada PH bahawa pertembungan akan datang adalah 2 penjuru, walaupun terdapat parti atau calon Bebas bertanding,” tambahnya.
Khalil berkata, serangan terhadap PAS dan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menunjukkan PH ketandusan idea ketika berdepan dengan rakyat.
“Mereka serang PAS, kata sibuk nak lantik presiden jadi perdana menteri, tapi apa kaitannya dengan rakyat Cameron Highlands? Pada musim PRK, PH kena jawab kenapa tidak tepati janji,” katanya.
Khalil menepis dakwaan PAS parti rasis, mengatakan partinya mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan keistimewaan Bumiputera.
“Kalau dakwa PAS parti rasis, mengapa kebebasan agama berlaku di Kelantan dan bangsa lain tidak ditindas?” katanya.
Khalil malam tadi berkongsi pentas dengan Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, kurang 100 meter dari pentas PH mengadakan ceramahnya.
Asyraf membidas kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang semalam yang berkata, dia akan mengadakan satu persidangan wakil Orang Asli jika PH menang Sabtu ini untuk merangka tindakan bagi meningkatkan kehidupan Orang Asli.
Lim mengajukan perkara itu selepas terkejut melihat kekurangan keperluan asas untuk Orang Asli dari segi pendidikan, penjagaan kesihatan, perumahan, peluang ekonomi dan hak tanah adat, selain jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik.
“Lim lupa Orang Asli ini Bumiputera,” kata Asyraf. “PH bukan pembangkang tapi kerajaan, tidak payah tunggu pilihan raya nak bantu Orang Asli.”