Umno: Pahang sedia bayar elaun tok batin jika Putrajaya enggan

Umno: Pahang sedia bayar elaun tok batin jika Putrajaya enggan

Mohamad Hasan berkata menteri besar setuju akan kerajaan negeri akan membayar elaun tok batin jika ia ditarik oleh Putrajaya.

KUALA LIPIS: Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan Pahang sedia mengambil alih pembayaran elaun kepada tok batin sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) enggan berbuat demikian.

Beliau berkata perkara itu dibincangkan bersama Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Walaupun sebelum ini didakwa ada ugutan terhadap tok-tok batin bahawa jika didapati sokong Barisan Nasional elaun mereka ditarik, saya telah berbincang dengan menteri besar, jika perkara yang tidak sepatutnya itu berlaku, maka kerajaan Pahang akan mengambil alih pembayaran elaun tersebut dari kerajaan pusat,” katanya.

Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat bersama jentera BN hari ini.

Beliau mengulas kenyataan yang tular di Facebook baru-baru ini, mendakwa tok batin sekitar Cameron Highlands “dikurung” di sebuah hotel di Brinchang dengan tujuan untuk dipaksa memberi undi kepada calon PH pada Sabtu ini.

Namun, Pengerusi PKR Pahang, Fuziah Salleh menegaskan tiada ugutan atau tawaran dibuat kepada tok batin di Cameron Highlands untuk mendapatkan undi.

PRK berkenaan menyaksikan pertandingan 4 penjuru membabitkan calon PH, M Manogaran; calon BN, Ramli Mohd Nor dan 2 calon bebas iaitu Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.