Teresa Kok tuntut gantirugi RM30 juta daripada ketua Pemuda PAS Selangor

Teresa Kok tuntut gantirugi RM30 juta daripada ketua Pemuda PAS Selangor

Teresa Kok dalam surat tuntutannya berkata artikel itu tidak benar, terlalu cuai, berniat jahat dan pada dasarnya dilakukan untuk mencari publisiti murah.

KUALA LUMPUR: Menteri Industri Utama Teresa Kok hari ini menuntut permohonan maaf dan pampasan RM30 juta atau berdepan tindakan undang-undang daripada ketua Pemuda PAS Selangor terhadap satu artikel yang dianggapnya fitnah yang mendakwa Kok sebagai menentang Islam

Kok, dalam surat tuntutan menerusi firma guaman SN Nair & Partners bertarikh 23 Januari mendakwa Syarhan Humaizi Halim menulis dan menerbitkan satu artikel di laman peribadi Facebook pada 19 Januari lepas, yang berupa menghina dan menfitnah Kok.

Firma guaman itu berkata kandungan artikel itu dalam makna biasa dan semulajadi menggambarkan Kok sebagai menentang Islam, rasis dan seorang menteri yang tidak adil dan tidak jujur.

Ia mendakwa artikel itu tidak benar, menyakitkan hati, terlalu cuai, berniat jahat dan bertujuan untuk merendahkan maruah anak guamnya di mata orang ramai, baik secara tempatan mahupun antarabangsa.

Firma itu berkata artikel pada dasarnya dilakukan untuk mencari publisiti murah.

“Sehubungan itu kami diarah menuntut daripada anda penarikan balik artikel yang memburuk-burukkan itu dengan segera dan tegas; di samping menolak serta memadamkan semua komen yang berbaur fitnah dan menyinggung perasaan itu.

“Permintaan maaf perlu mengikut syarat yang dipersetujui kami sebagai peguamcara kepada pelanggan kami, di samping perlu diterbitkan di akhbar atau media pilihan pelanggan kami; dan satu perakuan di pihak anda bahawa anda tidak lagi akan mengulangi tuduhan serta komen sedemikian seperti kata-kata yang memburuk-burukkan atau yang sama makna dengannya,” menurut firma itu.

Menurutnya pelanggan mereka juga mengarahkan mereka menuntut gantirugi RM30 juta daripada Syarhan kerana menjejaskan reputasi Kok.

“Sekiranya kami tidak menerima jawapan yang memuaskan dalam tempoh 7 hari mulai hari ini, arahan yang kami terima adalah untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap anda,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.