
Abangnya yang hanya mahu dikenali sebagai Dennis berkata Yun Peng yang mesra dipanggil keluarganya sebagai Didi itu bersama-sama menghias kediaman mereka di Taman Kempas.
“Keluarga termasuk adik saya telah buat persiapan termasuk membeli pakaian baru dan nampaknya (kami) terpaksa melupakan hasrat untuk meraikannya kerana kami masih bersedih dan berkabung atas kematian Didi,” katanya kepada pemberita di kediaman mereka hari ini.
Yun Peng yang menuntut di sebuah kolej swasta di George Town dilaporkan dalam perjalanan balik ke rumahnya Ahad lepas apabila SUV jenis Mazda CX-5 yang dipandunya hilang kawalan selepas berlanggar dengan sebuah kereta Toyota Vios di Km 4, Jambatan Pulau Pinang.
Kenderaan itu seterusnya melanggar penghadang jalan sebelum terhumban ke dalam laut dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.54 pagi itu.
Dennis berkata ibu dan ayahnya yang kedua-duanya berumur lingkungan 60-an sudah mula menerima hakikat yang menimpa satu-satunya saudara kandungnya itu dan pada masa yang sama, berharap orang ramai tidak terus membuat spekulasi punca kejadian itu.
Beliau turut meminta supaya video berkenaan dengan insiden itu tidak disebarkan lagi atau dipadamkan terus demi menghormati keluarganya dalam usaha mereka menghadapi dugaan kehilangan orang yang disayangi.
“Memang sedihlah sebab banyak gambar adik saya tersebar dan gambar-gambar serta video itu agak tidak sesuai…biarlah polis jalankan siasatan terperinci,” katanya dalam nada yang tersekat-sekat menahan sebak.
Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang bertungkus lumus mencari kereta dipandu adiknya sebelum berjaya membawa naik ke atas Jambatan Pulau Pinang.
“Saya bagi pihak keluarga juga ingin meminta maaf kepada orang ramai terutama pengguna Jambatan Pulau Pinang yang terpaksa menempuh kesesakan semasa operasi membawa naik kereta dan adik saya pada Isnin serta semalam,” katanya.
Dennis berkata upacara pengebumian mendiang adiknya akan diadakan di Tanah Perkuburan Cina Berapit pada pukul 10 pagi esok.
Usaha untuk mengeluarkan kenderaan dan mayat Yun Peng dari dasar laut, mengambil masa lebih 24 jam sebelum berjaya dikeluarkan Selasa petang.
Mayat mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu dengan tali pinggang keledarnya masih terpasang, ditemukan dalam SUV yang remuk itu semasa ditarik keluar dari laut pada 6.07 petang.