
Bekas perdana menteri merujuk kepada kenyataan mengatakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bukan seorang rasis kerana pernah mempertahankan maruah seorang perempuan Melayu pada 1990-an.
Najib berkata “propaganda” yang diulang-ulang oleh veteran DAP itu tidak menamakan orang itu kerana ia tidak berasas.
“Lelaki yang dituduh sebagai perogol itu telah menyaman DAP atas fitnah tersebut sehingga menyebabkan DAP mengaku di mahkamah bahawa semua tuduhan tersebut tidak berasas,” katanya di Facebook hari ini.
Najib turut menyelitkan pautan ke satu halaman DAP, memaparkan kenyataan media daripada ibu pejabat DAP.
“Saya rasa sekiranya orang yang Guan Eng tuduh sebagai perogol pada masa itu bukan pemimpin Umno, sudah tentu isu ini tidak akan dibesar-besarkan oleh DAP,” katanya.
Pada 1995, Lim Guan Eng disabit kesalahan oleh Mahkamah Tinggi Melaka kerana mencetak berita palsu bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan Akta Hasutan.
Dia didapati bersalah menyebarkan dakwaan ketua menteri Melaka ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik merogol seorang perempuan bawah umur.
Hukuman asal adalah denda maksimum RM5,000 bagi tuduhan menghasut dan denda RM10,000 bagi tuduhan “berita palsu” tetapi tidak dipenjarakan.
Pada 1998, Lim diperintahkan menjalani hukuman penjara 18 bulan selepas rayuan terhadap kesalahan berita palsu dan menghasut ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.