
Ahli Parlimen Pekan itu menyifatkan tuduhan yang dibuat sepupu Altantuya, Burmaa Oyunchimeg, terhadap beliau sebagai fitnah.
“Itu fitnahlah, tipu, saya tak pernah jumpa dia.
“Saya dah sumpah dalam masjid,” kata bekas perdana menteri itu ketika ditemui media selepas menghadiri majlis beramah mesra bersama penduduk di Kampung Lubuk Kulit.
Burmaa membuat dakwaan tersebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini ketika memberi keterangan sebagai saksi dalam saman RM100 juta yang difailkan keluarga Altantuya susulan kematian wanita tersebut.
Burmaa mendakwa Altantuya pernah menunjukkan gambarnya bersama pakar pertahanan, Abdul Razak Baginda, dan seorang timbalan perdana menteri yang menurutnya bernama “Razak”.
Altantuya dibunuh pada Oktober 2006 apabila kepalanya ditembak dan mayatnya diletupkan. Dua anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar kemudian didapati bersalah kerana membunuh wanita berkenaan.
Pada 4 Jun 2007, bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev dan isterinya Altantsetseg Sanjaa, serta 2 cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman terhadap Azilah, Sirul Azhar, Razak Baginda dan kerajaan Malaysia, dengan menuntut pampasan RM100 juta.
Dalam perkembangan lain, Najib menyindir kerajaan PH kerana didakwa gagal menunaikan janji manifesto semasa kempen pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Ramai yang hari ini rasa terpedaya atau tertipu dengan janji-janji manis, tetapi sehingga hari ini setelah 9 bulan janji tinggal janji.
“PH sebelum ini kata takkanlah hari ini kahwin esok nak dapat anak, Sekarang dah 9 bulan PH menjadi kerajaan, (tapi) anak tak nampak-nampak. Takkan nak tunggu 18 bulan?” katanya.