
Akhbar Israel, The Jerusalem Post memetik seorang jurucakap dari kerajaan Austria sebagai berkata, Kurz menyuarakan pendiriannya dengan jelas berhubung dasar anti-Yahudi kepada Dr Mahathir yang dalam lawatan kerja 3 hari ke Vienna.
“Austria tanpa diragui, kekal sebagai ‘rakan dan sekutu Israel’ serta komited menentang sebarang bentuk anti-Yahudi di mana saja ia berlaku,” Peter Launsky-Tieffenthal memetik Kurz sebagai berkata.
Dalam satu e-mel kepada akhbar itu, Launsky-Tieffenthal berkata, selepas pertemuan dengan Dr Mahathir, Kurz memberitahu wartawan Austria beliau dan perdana menteri Malaysia itu mempunyai “pandangan amat berbeza” berhubung isu itu dan sebarang bentuk “anti-Yahudi di Malaysia atau tempat lain, tidak boleh diterima”.
Dua minggu lalu, Putrajaya melarang pasukan renang Israel memasuki Malaysia untuk menyertai Kejohanan Renang Para Dunia di Sarawak pada Julai nanti.
Dr Mahathir yang dikritik pelbagai pihak berhubung keputusan itu, menolak dakwaan anti-Yahudi dengan berkata, beliau berhak bersuara menentang dasar Israel, sama seperti pengkritiknya mempunyai hak untuk melabelkannya anti-Yahudi.
Dalam ucapannya kepada Oxford Union Society di London, Sabtu lalu, beliau turut mempertahankan larangan ke atas atlet Israel dengan alasan ia melaksanakan hak sama yang digunakan negara lain.
Katanya, sebuah negara mempunyai “hak untuk menutup sempadannya kepada orang tertentu. Itu sebabnya ada sempadan”.
“Kami rasa mereka melakukan banyak perkara salah dan terlepas dengannya kerana tiada orang berani bercakap apa-apa mengenainya.”
Beliau berkata, Malaysia dan Israel tiada hubungan diplomatik, jadi “tiada alasan untuk atlet mereka memasuki negara ini”.
Israel bagaimanapun menyelar larangan ke atas atletnya dengan menuduh Dr Mahathir “pelampau anti-Yahudi”.