
Timbalan presiden PAS itu berkata, perkara itu jelas disebut dalam al-Quran dan calon agama lain boleh dipilih sekiranya tiada calon Islam.
“Soalnya bukan menyokong atau menentang. Yang penting ialah prinsip dibawa itu tidak bercanggah dengan Islam,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk Desa Kayangan.
Beliau mengulas kenyataan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nik Omar yang juga anak bekas menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, mengundi calon mewakili parti menentang rasuah sebahagian daripada tuntutan Islam.
“Kita sokong bukan kerana agamanya, tetapi kerana dia bersama kita untuk bawa kebaikan kepada agama, rakyat dan negara kita,” kata Nik Omar yang membantu kempen calon Pakatan Harapan, M Manogaran dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari ini.
Tuan Ibrahim menasihatkan Nik Omar jujur dengan ilmu dimiliki, khususnya dalam berhujah mengenai pemilihan calon Islam dan agama lain.
“Nik omar perlu jujur dengan ilmu yang dia ada.”
PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh dari Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 lalu, terbatal dan tidak sah apabila mendapati wujud amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.
PRK kali ini menyaksikan pertandingan 4 penjuru antara Manogaran, Ramli Mohd Nor yang mewakili BN serta 2 calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.