Wisma Putra: Isu 2 hala Malaysia-Singapura akan diatasi secara aman dan tenang

Wisma Putra: Isu 2 hala Malaysia-Singapura akan diatasi secara aman dan tenang

Usaha diplomatik sedang dijalankan bagi mencari penyelesaian baik berhubung isu yang menjadi keutamaan kedua-dua negara.

Wisma Putra berkata, Malaysia dan Singapura akan mencari penyelesaian berhubung isu maritim serta perundangan dan operasi dalam usaha menenangkan keadaan dan menyediakan asas untuk perbincangan lanjut. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Malaysia komited untuk menyelesaikan isu 2 hala dengan Singapura secara aman dan tenang, kata Wisma Putra.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, usaha diplomatik sedang dijalankan untuk mencari penyelesaian yang baik berhubung isu-isu yang menjadi keutamaan kedua-dua negara.

“Walaupun terdapat insiden terbaru yang seolah-olah melemahkan usaha diplomatik, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah telah menerima warkah bernada positif daripada Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, Saifuddin juga bertemu Balakrishnan pada Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASsean di Chiang Mai, Thailand dari 17 hingga 18 Jan 2019.

Menurut kenyataan itu mesyuarat antara Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dengan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura Chee Wee Kiong dijadual diadakan pada 28 Jan 2019.

Mesyuarat itu adalah untuk membincangkan dan mencari penyelesaian berhubung isu maritim Malaysia-Singapura serta perkara berkaitan perundangan dan operasi dalam usaha menenangkan keadaan dan menyediakan asas untuk perbincangan dan rundingan lanjut, menurut Wisma Putra.

Menurut kenyataan itu, pada minggu-minggu seterusnya, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook akan mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Khaw Boon Wan untuk membincangkan isu berkaitan ruang udara antara kedua-dua negara, termasuk Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) dan pelaksanaan prosedur ILS di Lapangan Terbang Seletar, Singapura.

“Usaha berterusan ini menandakan komitmen Malaysia yang jitu untuk meneruskan penyelesaian isu bilateral dengan jiran terdekat Singapura, secara aman dan konstruktif, berdasarkan kesaksamaan dan saling menghormati,” menurut Wisma Putra.

Ini selaras dengan pemahaman yang dicapai antara Menteri Luar Malaysia dan Republik Singapura pada 8 Jan lepas di Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.