Menteri nafi beri AP eksport pasir kepada syarikat kroni

Menteri nafi beri AP eksport pasir kepada syarikat kroni

Ada jawatankuasa yang ditubuhkan untuk meneliti permohonan yang diterima sebelum ia dikemukakan kepada menteri.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata, laman portal berita ang membuat dakwaan itu adalah milik ‘cybertroopers’ Umno dan maklumat yang terkandung di dalamnya adalah tidak benar. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar hari ini menafikan beliau memberikan Kelulusan Permit (AP) bagi mengeksport pasir sungai secara rundingan terus kepada 4 syarikat didakwa milik kroninya.

Dr Xavier menegaskan laporan yang diterbitkan sebuah portal berita semalam, adalah tidak benar, bahkan beliau mendakwa portal berita itu adalah dimiliki Umno.

“Pertama sekali, laman portal berita itu adalah milik ‘cybertroopers’ Umno dan semua maklumat yang terkandung di dalamnya adalah tidak benar sama sekali.

“Ada jawatankuasa yang ditubuhkan untuk meneliti permohonan yang diterima sebelum ia dikemukakan kepada menteri, itulah prosedur yang diamalkan selama ini.

“Saya beri kelulusan, tetapi saya tidak kenal satu pun daripada syarikat itu. Syarikat itu dicadangkan oleh jawatankuasa berkenaan dan menteri mempunyai kuasa untuk memberi kelulusan…tidak perlu dibawa ke kabinet,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan Loji Rawatan Kumbahan Serantau Kuala Sawah dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai laporan yang diterbitkan sebuah portal berita semalam yang mendakwa beliau meluluskan AP mengeksport pasir sungai kepada 4 syarikat kroninya.

Mengulas lanjut Dr Xavier turut menafikan penglibatan perdana menteri dan menegaskan tidak ada keperluan untuk Kabinet membincangkan perkara tersebut.

Tambahnya, bagi pengeksportan bahan seperti pasir yang tersenarai dalam Jadual Kedua Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2017, lesen eksport AP perlu diperoleh terlebih dahulu daripada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan permohonan akan dipertimbangkan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Sebelum pertimbangan dan kelulusan menteri diberikan, syarikat berkenaan perlulah terlebih dahulu memenuhi syarat ditetapkan dan memperoleh kelulusan daripada kerajaan negeri di mana sumber pasir itu diperoleh.

“Oleh yang demikian, tidak berbangkit isu rundingan terus seperti yang dilaporkan memandangkan mana-mana syarikat boleh mengemukakan permohonan untuk mengeksport pasir sekiranya mematuhi syarat ditetapkan,” katanya.

Menurut beliau, terdapat permintaan untuk mengeksport pasir, namun beliau menasihatkan pihak yang terlibat supaya mematuhi Laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dan kajian hidrologi di kawasan yang akan dikorek.

“Kita juga ada persetujuan dengan Jabatan Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), kalau keperluan untuk pasir dalam negara meningkat, kelulusan eksport akan dihentikan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Xavier berkata pihak kementerian memandang serius penyiaran dan penularan dokumen rasmi dalaman dan akan mengadakan siasatan bagi memastikan agar kejadian seumpama itu tidak berlaku lagi pada masa depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.