
Menerusi laman sosial Twitter, Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi mengutuk serangan disifatkan sebagai “serangan pengganas kejam” sambil menghulurkan ucapan takziah kepada mereka yang terkorban.
“Satu lagi jenayah kejam tidak bertamadun dan ia mengukuhkan lagi keperluan untuk segera menghimpunkan semua usaha bagi memastikan pengganas dihapuskan di mana saja,” kata Safadi.
Pada Rabu, kumpulan militan Daesh mengaku bertanggungjawab melakukan serangan bom bunuh diri yang mensasarkan pasukan ronda tentera AS di bandar Manbij yang dikuasai puak Kurdi di pedalaman barat laut wilayah Aleppo.
Empat tentera AS terbunuh dan 3 lagi cedera dalam serangan itu, kata seorang pegawai negara itu.
Ini adalah korban pertama tentera AS sejak Presiden Donald Trump pada Dis lalu mengumumkan rancangannya untuk membawa pulang tentera negara itu dari Syria.
AS mengerah 2,000 tentera di Syria, termasuk di Manbij bagi memerangi militan Daesh.
Penyerang meletupkan jaketnya yang sarat dengan bom di sebuah restoran di Manbij berhampiran pasukan ronda AS, kata anggota pasukan pemerhati hak asasi Syria.
Manbij dikuasai Majlis Tentera Manbij yang diterajui puak Kurdi.
Tentera AS mengawal kawasan itu selepas ketegangan berlaku antara pemberontak disokong Turki dengan pasukan militia yang dikuasai puak Kurdi.