Isu gaji: Pemain Perlis mahu lapor SPRM

Isu gaji: Pemain Perlis mahu lapor SPRM

Ketua pasukan, Ezzrul Ikmanizar Abdul Rahman mendakwa gaji 18 pemain dipotong RM300 seorang bagi Mac 2018 untuk membayar gaji jurulatih dan caruman KWSP tidak dibuat sejak Januari 2018.

Ezzrul Ikmanizar Abdul Rahman menolak dakwaan timbalan presiden PFA yang pemain melanggar disiplin, sebaliknya beliau menyifatkan kesalahan mereka sengaja dibangkitkan bagi menutup kesalahan persatuan itu. (Gambar Facebook)
KANGAR:
Kemelut melanda Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) memasuki fasa baru apabila pemain yang tidak dibayar gaji mengancam membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana gaji mereka dipotong RM300 seorang bagi membayar gaji jurulatih pada Mac 2018.

Mereka mendakwa Timbalan Presiden PFA, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan memaksa gaji 18 pemain bagi bulan itu dipotong kerana persatuan tidak mempunyai wang mencukupi membayar gaji jurulatih.

Ketua pasukan, Ezzrul Ikmanizar Abdul Rahman, 30, yang membuat pendedahan itu berkata, mereka sengaja tidak mendedahkan perkara itu lebih awal kerana mahu isu gaji 27 pemain dan kakitangan PFA selama 7 bulan diselesaikan secara baik.

“Oleh kerana PFA mahu mengambil tindakan undang-undang kerana kami mendedahkan salah laku mereka (pengurusan terdahulu) kepada media mengenai gaji tertunggak, jadi kami pula tidak akan teragak-agak membuat aduan kepada SPRM.

“Malah, caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga tidak dibuat sejak Januari tahun lepas, sebelum isu tunggakan gaji didedahkan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ezzrul berkata, laporan yang akan dibuat kepada SPRM supaya agensi itu boleh menyiasat kemungkinan wang persatuan disalahgunakan kerana gaji pemain dipotong, tetapi caruman kepada KWSP tidak dibuat.

Semalam, Karim dalam satu kenyataan berkata, PFA bercadang mengambil tindakan undang-undang setelah pemain mendedahkan isu tunggakan gaji mereka yang disifatkannya mencemarkan nama baik PFA.

Ezzrul menolak dakwaan Karim yang pemain melanggar disiplin dan menyifatkan kesalahan mereka sengaja dibangkitkan bagi menutup kesalahan PFA.

“Kami akan terus menuntut hak yang dinafikan kerana sejak tidak dibayar gaji, kami melakukan bermacam kerja seperti mengambil upah mengecat, menjual burger dan menjadi nelayan untuk terus hidup.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.