
MAHB dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, pengunduran Syed Zainol dibuat selepas penutupan bursa hari ini. Zainun akan mengambil alih jawatan itu berkuat kuasa esok.
Zainun memegang pelbagai jawatan dalam bidang perundangan dan kehakiman. Beliau dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada Ogos 1996 dan menjadi hakim Mahkamah Persekutuan mulai April 2012. Beliau bersara sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada 4 Oktober lalu.
Lembaga pengarah dan kumpulan itu melahirkan penghargaan kepada Syed Zainol yang menjadi pengerusi sejak 7 Jun 2017, berikutan sumbangan beliau yang tidak ternilai semasa berkhidmat dengan syarikat.
“Sepanjang tempoh itu, Syed Zainol membawa syarikat ke tahap lebih tinggi dalam mencapai prestasi kewangan serta kualiti perkhidmatan dan operasi.
“Beliau amat komited dalam memastikan tadbir urus korporat dan keutuhan diutamakan di seluruh organisasi. Dengan pengalaman yang luas dan kepimpinan cemerlang, Syed Zainol berjaya mendorong syarikat melalui perubahan transformasi budaya,” katanya.
MAHB menguruskan 39 lapangan terbang di Malaysia dan sebuah lapangan antarabangsa di Istanbul, Turki.