Malaysia takkan anjur acara babit Israel, kata menteri

Malaysia takkan anjur acara babit Israel, kata menteri

Menteri luar berkata, Malaysia akan terus mengambil pendirian tegas terhadap penderitaan rakyat Palestin yang dianggap krisis kemanusiaan.

Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia melihat isu Palestin bukan dari segi agama sahaja, tetapi ia adalah isu kemanusiaan dan hak asasi manusia.
KUALA LUMPUR:
Malaysia melaksanakan larangan menyeluruh terhadap semua warga Israel menyertai acara anjuran negara Asia Tenggara, selepas Putrajaya mempertahankan keputusan tidak membenarkan atlet negara itu bertanding dalam Kejohanan Renang Para Dunia, Julai nanti.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Kabinet pada minggu lalu memutuskan rakyat Israel tidak dibenarkan memasuki Malaysia untuk sebarang acara.

“Walaupun kami komited untuk menganjurkan sesebuah acara, mereka tidak akan dibenarkan (masuk ke Malaysia,” katanya dalam rakaman sidang media yang diperolehi Reuters.

“Keduanya, Malaysia tidak akan menganjurkan sebarang acara yang mempunyai perwakilan atau penyertaan Israel.”

Isnin lalu, AFP memetik Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa yang dilaporkan “kecewa” dengan keputusan Malaysia menghalang perenang Israel ke negara ini, tetapi ia berharap dapat “mencari penyelesaian” terhadap perkara itu.

Perenang dari kira-kira 70 negara dijangka bertanding dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak dari 29 Julai hingga 4 Ogos ini.

Malaysia ialah penyokong terhadap penyelesaian 2 negara dalam konflik Israel dan Palestin.

Disember lalu, ribuan orang di Malaysia dan Indonesia menyertai perhimpunan jalanan untuk membantah keputusan Washington mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Bulan lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik keputusan Australia membenarkan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dengan alasan negara itu “tiada hak” berbuat demikian.

Saifuddin berkata, Malaysia akan terus mengambil pendirian tegas terhadap penderitaan rakyat Palestin yang dianggap krisis kemanusiaan.

“Kami melihat isu Palestin bukan dari segi agama sahaja…ia adalah isu kemanusiaan dan hak asasi manusia.

“Ia berkaitan perjuangan bagi pihak tertindas.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.