
Laporan awal mengatakan 2 anak kapal Malindo Air antara 8 orang ditangkap oleh polis Australia kerana disyaki menyeludup dadah bernilai RM2,95 juta tetapi Malindo Air mendakwa hanya seorang ditangkap.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata, berdasarkan siasatan dalaman dan laporan, tangkapan tersebut adalah kejadian terpencil akibat salah laku seorang anak kapalnya.
“Dia digantung tugas serta-merta sebelum tindakan menamatkan perkhidmatan diambil. Sebagai kargo udara yang bertanggungjawab, Malindo Air tidak membiarkan sebarang pelakuan jenayah atau salah laku oleh kakitangan kami,” katanya.
Menurut kenyataan itu, ia sedia bekerjasama dengan semua pihak berkaitan di Australia dan Malaysia dalam perkara tersebut.
Syarikat penerbangan itu berkata, ia menyampaikan laporan kes penangkapan itu kepada pejabat konsulat Malaysia di Melbourne.
“Kami difahamkan daripada laporan media bahawa anak kapal tersebut ditangkap kerana didakwa menjadi sebahagian daripada sindiket antarabangsa yang menggunakan anak kapal pelbagai penerbangan untuk menyeludup dadah ke Australia,” katanya.
Malindo Air berkata, mereka juga difahamkan anak kapal penerbangan antarabangsa lain juga ditangkap kerana kesalahan yang serupa sejak beberapa bulan lalu.
Ia memberi jaminan akan bekerja lebih rapat dengan pihak yang relevan untuk memastikan semua anak kapal bertindak secara profesional dan patuh dengan undang-undang antarabangsa sedia ada.
Malindo Air juga berkata ia akan terus mengambil langkah perlu bagi menjamin keselamatan pelanggannya pada setiap masa dan akan mematuhi semua piawaian antarabangsa.
Daripada 8 yang ditangkap polis, 2 adalah wanita. Mereka didakwa menyeluduh heroin, methamphetamine dan kokain ke Australia.