
Presiden Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya Malaysia (GMB), Agil Faisal Ahmad Fadzil berkata, para pengusaha PKS akan menilai produk sedia ada di pasaran terlebih dahulu dan memilih pinjaman pembiayaan yang paling sesuai.
“Ini bukan soal pengusaha PKS tidak tahu, tetapi disebabkan masalah skim pembiayaan Islam yang tidak dilaksanakan sepenuhnya dan seolah-olah dilaksanakan atas nama penjenamaan semata-mata.
“Malah, apa yang ditawarkan oleh skim pinjaman pembiayaan Islam tidak banyak beza dan tidak memberikan impak seperti skim konvensional. Jadi, tidak ada sebab untuk mereka menukar kepada skim patuh syariah,” katanya kepada FMT.
Agil, yang juga bekas ahli SME Corporation berpendapat, antara langkah yang boleh menjadikan skim pembiayaan Islam lebih berkesan adalah mencari produk Islamik yang boleh dipasarkan secara meluas di negara ini.
“Pihak yang terlibat perlu bekerjasama dengan pengusaha PKS, cari produk Islamik terbaik yang boleh dipasarkan, sekali gus memberikan manfaat, malah mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak berkaitan,” katanya.
Semalam, Penolong Gabenor Bank Negara, Adnan Zaylani Mohamad Zahid dilaporkan berkata, 60% PKS tidak menggunakan kemudahan pembiayaan perniagan Islam dan menganggap perkara itu berlaku disebabkan salah tanggapan bahawa kewangan Islam hanya untuk orang Islam.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman pula menganggap skim pembiayaan Islam dilaksanakan secara teknikal sahaja.
“Kebanyakan pengusaha PKS memilih apa yang sudah ada di pasaran, malah skim konvensional ketika ini jauh lebih kompetitif dan memberikan peluang yang luas.
“Jadi, pihak bertanggungjawab perlu memberi perhatian tentang perkara ini dan menilai semula pelaksanaan skim pembiayaan Islam,” katanya.
Menurut Laporan Tahunan SME Corporation 2017/2018, terdapat 920,624 PKS di negara ini, meliputi sektor perkhidmatan, pembuatan, pembinaan, pertanian, perlombongan dan pengkuarian.
Sumbangan PKS terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara keseluruhan menunjukkan peningkatan, iaitu daripada 36.6% pada 2016 kepada 37.1% pada 2017.