Pendakwaan tarik balik rayuan hukuman Fahmi Reza hina Najib

Pendakwaan tarik balik rayuan hukuman Fahmi Reza hina Najib

Pihak pendakwaan mahu pereka grafik itu dikenakan hukuman lebih berat kerana memuat naik imej karikatur menghina Najib Razak di Facebooknya pada 2016.

Fahmi Reza didakwa menyalah guna kemudahan rangkaian fasiliti dengan mereka komunikasi bersifat menghina dengan niat mengganggu orang lain. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Pihak pendakwaan menarik balik rayuan agar dikenakan hukuman lebih berat ke atas pereka grafik Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin kerana memuat naik imej karikatur menghina bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di akaun Facebooknya pada 2016.

Timbalan pendakwa raya Zaki Asyraf Zubir memberitahu panel 3 hakim Mahkamah Rayuan hari ini bahawa pihak pendakwaan memfail notis pemberhentian rayuannya pada 28 Dis tahun lepas, dan dengan itu memohon rayuan itu dibatalkan.

Peguam Louis Liaw yang mewakili Fahmi Reza tidak membantah penarikan balik rayuan itu.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki yang mempengerusikan panel bersama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berikutan itu membatalkan rayuat tersebut.

Pihak pendakwaan sebelum ini memfail rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 12 Nov, 2018 yang mengetepikan hukuman penjara selama sebulan ke atas Fahmi Reza dan mengurangkan dendanya dari RM30,000 ke RM10,000 selepas membenarkan rayuannya terhadap hukuman itu.

Mahkamah Tinggi di Ipoh, bagaimanapun mengekalkan sabitannya atas tuduhan mengirim karikaktur tersebut, yang menampilkan Najib sebagai seorang badut bersama logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 8 Feb, 2016.

Fahmi Reza didakwa menyalah guna kemudahan rangkaian fasiliti dengan mereka komunikasi bersifat menghina dengan niat mengganggu orang lain menerusi akuan Facebooknya, “Fahmi Reza”.

Kiriman itu dikatakan dibaca di alamat, Seraya Sdn Bhd, Batu 3, Jalan Jelapang pada 2.40 petang hari yang sama.

Pada 20 Feb tahun lepas, Mahkamah Sesyen Ipoh menjatuhkan hukuman sebulan penjara dan denda RM30,000 ke atas Fahmi Reza selepas mendapatinya bersalah atas tuduhan itu.

Selepas prosiding itu, Liaw memberitahu pemberita rayuan Fahmi terhadap sabitannya masih berjalan dan Mahkamah Rayuan belum menetapkan tarikh pendengaran.

Fahmi Reza hadir di mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.