
Manogaran memberitahu pemberita dia perlu berhati-hati kerana tidak mahu dituduh cuba merasuah pengundi.
“Sampai saya takut nak keluarkan dompet untuk bayar makanan di restoran, mungkin orang akan rakam dan dimanipulasi,” katanya pada sidang media selepas menyertai sambutan pesta Ponggal di Tanah Rata hari ini.
Beliau berkata isu rasuah pilihan raya nampaknya sudah menarik perhatian orang ramai daripada kempennya.
“Kita mesti beralih daripada isu ini. Saya mahu fokus kepada isu setempat,” katanya.
Pilihan raya kecil Cameron Highlands diadakan selepas mahkamah membatalkan keputusan pilihan raya umum bagi Parlimen itu kerana mendapati wujud amalan rasuah ketika tempoh berkempen.
Jamuan makan yang sering kelihatan dalam tempoh berkempen pada pilihan raya lepas, selain isu duit minyak dan duit rokok kepada sukarelawan, kini diberi perhatian khusus oleh pihak pemantau, pemerhati politik dan warga internet.