Bekas calon BN lapor SPRM tentang ‘salah guna’ di Cameron Highlands

Bekas calon BN lapor SPRM tentang ‘salah guna’ di Cameron Highlands

C Sivarraajh berkata terdapat 4 kejadian sejak kempen berlangsung Ahad lalu.

C Sivarraajh berkata laporan kepada SPRM tentang ‘salah guna’ dalam Cameron Highlands bukan untuk membalas dendam.
PUTRAJAYA:
Bekas ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh hari ini buat laporan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan “salah guna” dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.

Katanya, terdapat 4 kejadian sejak kempen berlangsung Ahad lalu.

“Tidak perlulah saya ceritakan apa salah laku dan amalan korupsi yang dibuat. Anda semua pun sudah tahu, benda itu dah tular di media sosial,” katanya kepada pemberita di luar bangunan SPRM.

Beliau tiba sekitar jam 2.20 petang diiringi beberapa penyokong MIC. Katanya, laporan hari ini bukan untuk balas dendam atas apa yang berlaku kepada dirinya.

“Saya buat bukan sebab dendam. Saya terima semua ini sebagai dugaan untuk saya. Mungkin ada hikmah.

“Saya ni macam pengganas. Tak boleh bertanding selama 5 tahun, bahkan tak boleh mengundi pun. Apalah salah saya sampai macam itu sekali?” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Mei lalu yang memberikan kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN) terbatal dan tidak sah.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Azizah Nawawi berkata pempetisyen, M Manogaran, yang juga calon Pakatan Harapan, berjaya membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa wujud amalan rasuah ketika tempoh berkempen.

“Jika anda baca laporan berita lepas, hakim saya menyebut beri duit minyak dan duit rokok sebagai rasuah, amalan korupsi.

“Sekarang, apa jadi? Anda nilailah sendiri, ” katanya sebelum masuk untuk memberikan keterangan.

Sebelum ini, tular gambar seorang individu memakai baju berlogo Pakatan Harapan mengagihkan wang kepada beberapa individu lain.

Pemimpin PH berkata individu berkenaan adalah seorang sukarelawan Impian Malaysia dan wang yang diagihkan itu adalah bayaran balik kos petrol para sukarelawan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.