PH tidak beri wang untuk beli undi, kata Dr Mahathir

PH tidak beri wang untuk beli undi, kata Dr Mahathir

Sebelum ini tular gambar beberapa individu berbaju-T dengan logo gabungan parti pemerintah itu didakwa menyogok pengundi dalam PRK Cameron Highlands.

Dr Mahathir berkata, sekiranya pemberian wang itu daripada (peruntukan) kerajaan, maka semua pihak yang disasarkan akan mendapat faedah.
KUALA LUMPUR:
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah menggunakan politik wang bagi mendapatkan sokongan, selepas gambar beberapa individu berbaju-T dengan logo gabungan parti pemerintah itu didakwa menyogok pengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.

“PH tidak pernah memberikan duit kepada sesiapa,” kata perdana menteri, selepas melancarkan Produk Silinder Komposit Gas Petroleum Cecair (LPG) 14 Kilogram, di sebuah hotel terkemuka di sini.

Dr Mahathir berkata, sekiranya ada pemberian wang daripada (peruntukan) kerajaan, maka ia bermakna semua pihak yang disasarkan akan mendapat faedah dan manfaat dalam usaha berkenaan.

“Duit itu kerajaan sudah beri, maka dia berilah. Semua orang dapat. Itu sahaja,” katanya ringkas.

Terdahulu, penolong ketua Pusat Operasi PH di Jelai, Arvind Bharet dilaporkan menjelaskan bahawa gambar beberapa individu berbaju PH mengagihkan wang itu bukanlah bertujuan membeli undi, tetapi membayar balik kos petrol sukarelawan parti itu dalam kempen PRK Cameron Highlands yang sedang berjalan.

Arvind juga berkata, wang pembayaran balik itu akan diisytiharkan sebagai perbelanjaan PH bagi PRK itu.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda Umno Pahang, Mohd Farid Mohd Nor mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melucutkan kelayakan calon PH, M Manogaran daripada bertanding dalam PRK tersebut berikutan insiden berkenaan.

“Kita nak ingatkan kepada mereka bahawa PRK ini tidak perlu, tetapi ia terjadi kerana PH mendakwa penyandangnya, Datuk C Sivarraajh melakukan kesalahan di bawah Akta (Kesalahan) Pilihan Raya, sebagai contoh kerana buat kenduri untuk mendapatkan sokongan.

“Perkara ini (pemberian wang) sepatutnya tidak dilakukan oleh PH kerana mereka sendiri yang membuat petisyen untuk membatalkan kemenangan Sivarraajh. Kami minta (calon PH) tarik diri atau SPR lucutkan kelayakan calon (PH) daripada PRK kali ini,” katanya.

Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata, tidak menjadi kesalahan bagi sesebuah parti politik untuk membayar balik kos petrol sukarelawan yang terlibat dalam kempen parti mereka.

PRK Cameron Highlands pada 26 Jan ini menyaksikan pertandingan 4 penjuru membabitkan calon PH, Barisan Nasional (BN) serta 2 calon bebas.

PH meletakkan Pengerusi DAP Pahang, M Manogaran sebagai calon, manakala BN diwakili bekas pegawai kanan polis, Ramli Mohd Nor.

Dua calon bebas, masing-masing anak jati Parlimen Cameron Highlands, ialah bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib, 61, dan petani, Wong Seng Yee, 40 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.