Kementerian Pendidikan nafi dakwaan unit Padu bazir wang jutaan ringgit

Kementerian Pendidikan nafi dakwaan unit Padu bazir wang jutaan ringgit

Pengurusan Padu membuat satu laporan polis bagi menyangkal tuduhan tersebut.

Padu ditubuhkan pada 2013 untuk menggerakkan dan memantau prestasi inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan tuduhan seorang bekas pekerja Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (Padu) yang mendakwa unit itu bertanggungjawab membazirkan jutaan ringgit di bawah pentadbiran kerajaan lalu.

KPM dalam satu kenyataannya hari ini berkata, pengurusan Padu telah bertindak membuat satu laporan polis semalam, bagi menyangkal tuduhan tersebut.

“KPM ingin menjelaskan bahawa tuduhan yang dibuat, yang dikatakan berlaku semasa kerajaan lama itu sama sekali tiada kaitan dengan amalan kerajaan baru yang mengutamakan tadbir urus yang telus, bertanggungjawab dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam FMT melaporkan Raja Nazim Raja Nazuddin, yang pada suatu ketika menjadi ketua pegawai kewangan di unit Padu menggesa kerajaan supaya merombak unit tersebut yang didakwa membazirkan jutaan ringgit di bawah pentadbiran kerajaan lalu.

Padu ditubuhkan pada 2013 untuk menggerakkan dan memantau prestasi inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

“Dari awal lagi, Padu sudah menuju kegagalan kerana ia dipimpin orang yang tiada pengalaman dalam transformasi sistem pendidikan dan orang macam ini diharapkan membimbing kakitangan Kementerian Pendidikan,” kata Raja Nazim kepada FMT.

Menurutnya, pelan tersebut memakan belanja RM20 juta dengan 100 inisiatif dicadangkan di peringkat awal, namun hanya berakhir dengan kira-kira 20 inisiatif sahaja.

Bagaimanapun katanya, kementerian tersebut memutuskan untuk melantik firma perunding yang sama bagi membimbing dalam membina kapasiti serta kecekapan dalam kementerian untuk pelaksanaan pelan berkenaan.

“Ini menelan kos RM20 juta lagi, dengan kos masa bulanan antara RM245,000 dan RM640,000 setiap perunding. Tiada sesiapa dalam kementerian atau Padu memantau masa yang dihabiskan oleh perunding tersebut untuk projek berkenaan,” katanya.

KPM memberitahu, Raja Nazim adalah bekas pekerja unit Padu yang dilantik secara kontrak dan mula bertugas dari 15 Nov 2013 di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kontraknya ditamatkan pada 2 April 2015.

Kenyataan itu juga menyebut Raja Nazim tidak berpuas hati dengan penamatan kerjanya dan kes beliau telah dibawa ke mahkamah perusahaan yang kini menunggu keputusan perbicaraan.

“Untuk rekod, Padu ditubuhkan di bawah Akta Syarikat sebagai syarikat terhad dengan jaminan pada 20 Mac 2013. Ia diamanahkan untuk merealisasikan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang digubal oleh KPM.

“Padu mempunyai struktur tadbir urus yang kukuh meliputi aspek dasar dan operasi, termasuk dalam soal perolehan dan pengambilan, pengekalan dan penamatan pekerjanya yang dibuat berasaskan prestasi.

“Selain itu, struktur tadbir urus juga disokong oleh anggota Lembaga Amanah yang berwibawa dan KPM sendiri,” katanya.

Justeru KPM berkata, di bawah kerajaan baru, KPM akan memperkukuh sistem tadbir urus Padu, terutamanya peranan unit tersebut membantu KPM yang kini menjalankan semakan semula secara menyeluruh tentang pelaksanaan dasar pendidikan negara.

“Keutamaan KPM adalah memastikan sistem tadbir urus yang baik terus dipelihara dan diamalkan,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.