Bersih saran undian pilih Tok Batin, selepas ‘ugutan’ senator PKR

Bersih saran undian pilih Tok Batin, selepas ‘ugutan’ senator PKR

Bersih 2.0 berkata, proses pengundian itu bertujuan memastikan Tok Batin di kampung Orang Asli, ketua kampung serta ahli JKKK dipilih secara demokratik.

Bersih 2.0 berkata, bagaimana Orang Asli boleh mengharapkan Tok Batin membela hak mereka, jika elaun RM900 hingga RM1,200 boleh digunakan untuk memaksa Tok Batin menyokong parti pemerintah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bersih 2.0 menggesa pilihan raya diadakan untuk memilih ketua kampung berbanding lantikan politik oleh kerajaan persekutuan dan negeri, selepas seorang senator PKR didakwa memberi amaran kepada Tok Batin di Cameron Highlands akan kehilangan jawatan jika tidak menyokong parti pemerintah.

Katanya, proses pengundian itu bertujuan memastikan Tok Batin di kampung Orang Asli, ketua kampung serta ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dipilih secara demokratik.

“Sekiranya elaun sebanyak RM900-1,200 menurut Senator Bob Manolan (Mohamad), boleh digunakan untuk memaksa sokongan Tok Batin untuk parti pemerintah, bagaimanakah komuniti Orang Asli boleh mengharapkan pemimpin mereka untuk membela hak mereka kelak?” soal Bersih 2.0 dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Manolan dilaporkan mengugut akan memecat Tok Batin di Cameron Highlands yang tidak menyokong PH dalam PRK 26 Januari ini.

Bagaimanapun, Manolan kemudiannya menafikan membuat ugutan itu. Katanya, beliau hanya memberitahu Tok Batin yang merupakan ketua Umno cawangan yang tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan persekutuan supaya meletak jawatan.

Hari ini, Bersih 2.0 menggesa pihak berkuasa menyiasat Manolan kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihanraya.

Sementara itu, Bersih menggesa calon Pakatan Harapan, M Manogaran menyokong cadangannya.

“Kepada calon PH, M Manogaran yang beruntung jika ugutan Senator Bob Manolan berkesan, jika beliau tidak bersetuju dengan ugutan itu, maka Bersih 2.0 cadangkan beliau menyokong kuat pemilihan pimpinan kampung dan komuniti melalui pengundian.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.