UiTM belum sedia terima pasca siswazah bukan-Bumi, kata naib canselor

UiTM belum sedia terima pasca siswazah bukan-Bumi, kata naib canselor

Naib Canselor UiTM Hassan Said berkata universiti itu kekal dengan dasar asal iaitu untuk Bumiputera sahaja.

UiTM berada di kedudukan ke-228 di dunia dan disenaraikan antara 500 institusi pengajian tinggi terbaik di dunia dalam edisi ke-3 QS Graduate Employability Rankings 2019. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Datuk Dr Hassan Said menegaskan universiti itu perlu dikekalkan dengan dasar sedia ada yang mengkhususkan kepada Melayu dan Bumiputera walaupun membabitkan pengajian pasca-siswazah.

Hassan berkata, cadangan pengarah pertamanya, Tan Sri Arshad Ayub supaya institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu menerima pelajar bukan-Bumiputera untuk pengajian pasca siswazah masih tidak sesuai dilakukan ketika ini.

“Kita merasakan apabila kita bercakap mengenai keperluan ini, masih ada Bumiputera yang tinggal di kawasan pendalaman dan berada pada tahap miskin. Golongan ini masih ramai lagi.

“Jadi disebabkan itu kita masih kekal dengan dasar kita yang asal iaitu UiTM adalah untuk Bumiputera sahaja,” katanya dalam sidang media, selepas menandatangani perjanjian antara UiTM dan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), hari ini.

Laporan dikeluarkan QS World University Ranking pada tahun lalu, menyenaraikan UiTM berada di kedudukan ke-228 di dunia dan disenaraikan antara 500 institusi pengajian tinggi terbaik di dunia dalam edisi ke-3 QS Graduate Employability Rankings 2019.

Jelas Hassan, kedudukan universiti berkenaan dalam kedudukan universiti di dunia tidak seharusnya dijadikan sebagai ukuran, jelasnya, kedudukan berkenaan dinilai melalui bilangan pelajar antarabangsa yang tinggi.

“Di Malaysia tidak ada kena mengena dengan ranking. Kedudukan adalah apabila kita dapat pelajar antarabangsa yang tinggi. Dalam masa lain, mereka boleh bersama kita dalam bentuk mobiliti.

“Tidak semestinya mereka perlu berdaftar di UiTM sebagai pelajar sepenuh masa tetapi boleh berdaftar untuk 1 semester atau 2 semester dan di sini ada konsep integrasi berkenaan,” katanya.

Hassan berkata, pihaknya menggalakkan mahasiswa UiTM seluruh negara terlibat dengan program integrasi dengan lakukan pertukaran di kolej atau universiti swasta selama 1 semester atau 2 semester.

“Ia bagi memahami, inilah konsep integrasi. Dengan konsep ini, pertukaran itu masih mengikut dasar, pertukaran kredit transfer juga boleh dilakukan, tetapi pada dasarnya masih kekal dengan dasar yang ada,” katanya.

Sebelum ini, Arshad berkata beliau percaya, Malaysia sudah mencapai satu tahap dalam sejarahnya yang mewajarkan UiTM menerima pelajar semua kaum, tetapi hanya untuk pengajian pasca siswazah.

“Jika anda bertanya sama ada pelajar bukan-Melayu harus dibenarkan pergi ke UiTM, pada pandangan saya, di peringkat ijazah sarjana, graduan sepatutnya mampu bersaing dengan pelajar pelbagai bangsa,” katanya.

Arshad menjelaskan, pelajar di universiti berkenaan ketika ini kurang terdedah kepada cara berfikir tentang kebudayaan bangsa lain selain milik mereka sendiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.