3,000 tan makanan dijangka dibazirkan ketika Thaipusam, kata persatuan pengguna

3,000 tan makanan dijangka dibazirkan ketika Thaipusam, kata persatuan pengguna

Penyumbang dicadangkan menyerahkan sebahagian makanan kepada badan yang bertugas mengagihkan makanan kepada mereka yang memerlukan.

GEORGE TOWN: Mereka yang memberi makan percuma di pondok-pondok sempena musim perayaan Thaipusam 21 Januari depan diingatkan tidak menyediakan terlalu banyak makanan.

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow berkata tahun demi tahun bertimbun-timbun makanan yang dikumpulkan di kedai dan pondok persinggahan di musim perayaan itu di seluruh negara terbuang.

Beliau menjangkakan sekurang-kurangnya 3,000 tan makanan akan dibazirkan kali ini.

Setiap musim Thaipusam, banyak “thaneer panthal”, iaitu tempat persinggahan dibina di tepi jalan di merata tempat di seluruh negara oleh pihak kuil, individu dan persatuan.

Makanan dan minuman dikumpulkan di situ diagih-agihkan secara percuma kepada mereka yang memerlukan.

Di Pulau Pinang sahaja selalunya sebanyak 120 tempat persinggahan dan pengagihan makanan dan minuman dibina pada setiap musim Thaipusam.

“Petugas tidak sepatutnya memberi bungkusan makanan dan minuman kepada sesiapa sahaja yang melalui kawasan tersebut. Biarlah mereka yang benar-benar mahu makanan itu datang mengambil sendiri.

“Mereka yang datang juga patut ambil setakat yang diperlukan,” kata Subbarow kepada pemberita di luar kuil di kawasan Taman Botanik, di sini.

Beliau berharap mereka yang pergi ke tempat-tempat pengagihan tidak bersikap gelojoh.

Katanya, memandangkan makanan terlalu banyak diagihkan, sebahagian orang ramai mengambil banyak makanan tetapi akhirnya membuang sebahagian daripadanya.

Beliau juga mencadangkan pengagih-pengagih makanan musim perayaan itu menyerahkan sebahagian makanan kepada pihak yang bertugas mengagihkan makanan kepada mereka yang memerlukan.

Berdasarkan statistik Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), rakyat Malaysia membazirkan hampir 17,000 tan sisa makanan setiap hari.

Makanan sebanyak itu boleh mengenyangkan 2 juta orang 3 kali sehari.

Di musim perayaan kadar makanan yang dibazirkan meningkat 15 ke 20%.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri baru-baru ini berkata, Malaysia mengeluarkan 15,000 tan makanan berlebihan yang masih boleh diagihkan setiap hari.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian, suku atau 1.3 bilion tan makanan bernilai RM4,4 trilion dibazir di seluruh dunia setiap tahun.

Forum Ekonomi Dunia melaporkan, 850 juta orang di seluruh dunia mengalami kekurangan makanan dan pemakanan berkhasiat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.