Trump keluar mesyuarat, Demokrat bantah bina tembok AS-Mexico

Trump keluar mesyuarat, Demokrat bantah bina tembok AS-Mexico

Trump dikatakan berang dengan jawapan Speaker Demokrat dari Dewan Perwakilan, Nancy Peloci.

Peloci dan pemimpin kanan Demokrat mengkritik tindakan Trump yang terlalu obses dengan projek itu sehingga mengabaikan nasib ratusan ribu pekerja persekutuan. (Gambar AFP)
WASHINGTON:
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu bertindak meninggalkan rundingan yang sedang berlangsung dengan pemimpin kongres sambil mengatakan perbincangan dengan Demokrat hanya “membuang masa.”

Trump dikatakan bertindak demikian selepas berang dengan jawapan yang diberikan Speaker Demokrat dari Dewan Perwakilan Nancy Peloci.

Menurut agensi berita Xinhua, pertemuan itu memburukkan lagi pertikaian mengenai pembiayaan tembok sempadan AS-Mexico yang dibantah Demokrat.

Demokrat bertegas menentang idea itu sementara Trump tetap dengan pendiriannya untuk meneruskan projek terbabit.

Peloci dan pemimpin kanan Demokrat dalam Senat, Chuck Schumer mengkritik tindakan Trump yang dilihat terlalu obses dengan projek itu, sehingga sanggup mengabaikan nasib ratusan ribu pekerja persekutuan yang terjejas oleh penutupan beberapa operasi pentadbiran kerajaan.

Penutupan itu melibatkan 1/4 pejabat persekutuan kerana peruntukan kongres tamat tempoh dan telah berlarutan selama 19 hari, menjadi tempoh terpanjang dalam sejarah negara.

Sementara itu, naib presiden, Mike Pence menyalahkan Demokrat kerana tidak mahu mengadakan rundingan secara baik.

Anggota kanan Republikan, Kevin McCarthy yang menyokong kenyataan Pence berkata, kenyataan pihak Demokrat adalah berbeza sama sekali dengan keadaan sebenar yang berlaku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.