Pengerusi PPBM Perlis hilang kuasa selepas ibu pejabat parti ambil alih tugas

Pengerusi PPBM Perlis hilang kuasa selepas ibu pejabat parti ambil alih tugas

Setiausaha Agung PPBM, Marzuki Yahya berkata PPBM Pusat berhak mengambil alih kepimpinan negeri seperti termaktub di bawah peruntukan 14.3 perlembagaan parti.

Marzuki Yahya berkata, pengambilalihan tugas kepimpinan negeri itu tidak bermakna Ameir Hassan dipecat daripada jawatan pengerusi PPBM Perlis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengerusi PPBM Perlis, Ameir Hassan hilang kuasanya, selepas ibu pejabat parti itu mengambil alih tugas kepimpinan negeri itu bermula hari ini, susulan masalah dalaman yang dihadapi mereka.

Setiausaha Agung PPBM, Datuk Marzuki Yahya berkata PPBM Pusat berhak mengambil alih kepimpinan negeri seperti termaktub di bawah peruntukan 14.3 perlembagaan parti.

“Ia berkuat kuasa serta-merta, bermula hari ini. Hasil mesyuarat mengikut perlembagan 14.3, maksudnya demi melancarkan perjalanan parti, presiden ada kuasa untuk ambil alih.

“Ini bermakna, kita cuma ada PPBM di peringkat negeri sahaja, tetapi tidak ada pengerusi kerana ia bawah kuasa ibu pejabat,” katanya kepada FMT hari ini.

Marzuki bagaimanapun berkata, pengambilalihan itu tidak bermakna Ameir dipecat daripada jawatan pengerusi PPBM Perlis.

“Tidak terlucut sama sekali. Sebenarnya macam inilah, sekiranya negeri itu bermasalah dan pimpinan negeri tidak boleh selesaikan masalah, setelah kita ambil alih, maknanya tidak ada lagi pimpinan negeri.

“Kita juga tidak pecat pimpinan negeri, kita hanya ambil alih tugas, peranan pengerusi negeri,” katanya sambil menambah pihaknya akan menemui kepimpinan negeri pada hujung bulan ini untuk menyelesaikan masalah mereka.

Ameir dilaporkan berulang kali mempertahankan keputusannya memecat Wan Saiful Wan Jan daripada jawatan setiausaha PPBM Perlis, susulan dakwaan pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu berhubung penyalahgunaan kuasa dalam parti, termasuk pemalsuan dokumen.

Semalam, Timbalan Pengerusi PPBM Perlis, Izizam Ibrahim menggesa pucuk pimpinan pusat memecat Ameir dan melantik Wan Saiful sebagai penyelaras negeri itu, dengan alasan beliau gagal mentadbir PPBM serta “menjadikan parti sebagai harta persendiriannya”.

Izizam berkata, banyak bahagian di Perlis tidak gembira dengan cara kepimpinan Ameir dengan beberapa memorandum sudah diserahkan kepada pucuk pimpinan di Kuala Lumpur mendesak beliau dipecat.

Beliau mendakwa Ameir merasakan kedudukannya tergugat dengan kehadiran Wan Saiful yang dikatakan mempunyai hubungan baik dengan akar umbi di Perlis.

Isnin lalu, Wan Saiful membayangkan permusuhan beliau dan Ameir ada kaitan dengan ketidak sefahaman berhubung cubaan mendapatkan kontrak kerajaan yang ditawarkan kepada saudara pemimpin PPBM Perlis, tetapi beliau berikrar tidak akan tunduk kepada tekanan daripada mana-mana pihak untuk menjadi kaya secara haram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.