Guan Eng tepis laporan defisit belanjawan penyelidik asing

Guan Eng tepis laporan defisit belanjawan penyelidik asing

Putrajaya yakin ia boleh capai sasaran defisit belanjawan 3.7% pada 2018 dan 3.4% tahun ini, kata menteri kewangan.

PETALING JAYA:
Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini menyangkal laporan oleh badan penyelidik asing, Nomura Global Research yang melaporkan Malaysia akan mencatatkan defisit belanjawan 3.9% pada 2018, mengambarkan laporan itu “tidak tepat”.

Lim berkata kutipan SST mencecah RM5.4 bilion dan lebih tinggi daripada sasaran RM4 bilion.

“Iaitu 34% lebih tinggi daripada sasaran awal,” katanya dalam kenyataan.

Lim juga menafikan pendapat Nomura mengatakan kerajaan lambat melaksanakan pembaharuan institusi.

Beliau berkata kerajaan sedang melakukan reformasi melalui beberapa langkah.

Ia termasuk “zero-based budgeting”, tender terbuka, imgrasi dari perakaunan asas tunai kepada asas akuran, mengutamakan semula projek prasarana dan pembentukan jawatankuasa reformasi cukai dan jawatan kewangan awam untuk mempelbagaikan pendapatan kerajaan.

“Kerajaan secara jelas menyatakan proses pembaharuan institusi ini akan memakan masa 3 tahun untuk disiapkan,” katanya.

Lim berkata agensi penarafan antarabangsa seperti Moody’s, Standard & Poors, dan Fitch faham reformasi mengambil masa dan mengekalkan taraf kredit kerajaan pada A3 atau A-.

Nomura dalam laporan yang diterbitkan baru-baru ini bimbang Malaysia terlalu bergantung kepada hasil Petronas untuk menyokong belanjawan.

Lim menjawab pendapat itu dengan berkata hanya 19.5% daripada pendapatan kerajaan dijangka daripada sumber petroleum tahun ini, berbanding 41.3% pada 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.