
Seorang pengarah syarikat minyak di luar bandar berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini, pelaksanaan harga minyak secara mingguan menyebabkan stesen minyak di kawasan pendalaman terpaksa menghentikan operasi.
“Stesen-stesen minyak di luar bandar beroperasi dengan modal kerja rendah dan tempoh intervensi yang lebih lama di antara pesanan dan jualan minyak kerana hasil jualan mereka jauh lebih perlahan berbanding kawasan bandar dan pinggir bandar.
“Mereka ini lebih cepat terdedah kepada kesan penurunan atau kenaikan harga minyak yang dijalankan secara mingguan berbanding mekanisme pelaksanaan pengapungan harga minyak secara bulanan,” katanya yang enggan dinamakan kepada FMT.
Terdahulu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyatakan harga petrol RON95 diturunkan sebanyak 27 sen, iaitu daripada RM2.20 seliter kepada RM1.93 seliter.
Harga runcit petrol RON97 pula diturunkan daripada RM2.50 seliter kepada RM2.23 seliter manakala harga runcit diesel diturunkan daripada RM2.18 seliter kepada RM2.04 seliter.
“Penetapan harga runcit produk petroleum dilaksanakan secara mingguan mulai 12 tengah malam Sabtu, 5 Januari 2019,” kata Lim.
Pengarah itu menambah, pelaksanaan harga secara mingguan menyebabkan berlaku ketidaktentuan dalam pasaran, terutama apabila melibatkan perniagaan seperti petroleum dan diesel yang sememangnya berdepan dengan risiko tinggi.
Katanya, pengusaha stesen minyak di luar bandar mengalami saat sukar untuk bertahan ketika pelaksanaan harga minyak secara mingguan dilakukan dari April 2017 hingga April tahun lalu.
“Ia menyebabkan ada segelintir pengusaha melanggar undang-undang dengan tidak menjual minyak mereka tetapi menunggu harga minyak naik,” katanya.
Beliau berkata, pengusaha stesen minyak di kawasan luar bandar secara purata hanya memperoleh keuntungan sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, sekiranya beroperasi secara sendiri atau mempunyai jumlah kakitangan yang minimum.
“Sekiranya harga ditetapkan kurang RM0.30 sen daripada kadar ditetapkan ketika ini dan masih berbaki 2,000 liter dalam tangki simpanan semasa tempoh penyelarasan, ia akan menyebabkan mereka rugi RM600.
“Sekiranya harga pasaran minyak terus menurun pada minggu berikutnya, kita tidak boleh menolak kemungkinan pengusaha di luar bandar akan menyimpan stok minyak mereka.
“Sedangkan pengusaha minyak di bandar pun merungut tidak puas hati, ini pula mereka yang di luar bandar,” katanya.
Sebelum ini, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) memuji kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana menambah komisen pengusaha sebanyak 3 sen setiap liter dan pengusaha menyalahkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana menyebabkan ribuan pengusaha tutup kedai.
Di bawah kerajan BN, kata mereka, kadar komisen tidak berubah sepanjang dekad lepas yang memberi kesan ke atas pendapatan pengusaha dan memaksa ramai menutup kedai.
“Ramai pengusaha terpaksa menutup perniagaan, ramai pekerja hilang sumber pendapatan dan banyak keluarga menjadi mangsa kerajaan Najib yang tidak pernah mengambil langkah perlu bagi membetulkan keadaan,” kata PDAM.