Najib sangkal WSJ dakwa China tawar tebus 1MDB untuk projek

Najib sangkal WSJ dakwa China tawar tebus 1MDB untuk projek

Bekas perdana menteri mengingatkan Malaysia ketika itu berusaha dan berjanji menandatangani perjanjian penyelesaian dengan syarikat milik kerajaan Abu Dhabi, Ipic.

Gambar fail.
PETALING JAYA:
Datuk Seri Najib Razak menyangkal laporan Wall Street Journal (WSJ) mendakwa China menawarkan untuk menyelamatkan 1MDB sebagai ganjaran untuk kepentingan dalam beberapa projek termasuk saliran paip dan laluan kereta api.

Bekas perdana menteri berkata ia tidak pernah berlaku memandangkan Malaysia ketika itu berusaha dan berjanji perjanjian penyelesaian dengan syarikat milik kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (Ipic).

“Ia adalah untuk memastikan bahawa semua wang yang didakwa hilang dari 1MDB akan dikembalikan sebelum 31 Disember 2020,” katanya di Facebook.

Terdahulu, Putrajaya mengumumkan ia akan meneliti dakwaan-dakwaan dalam laporan akhbar antarabangsa itu, yang berdasarkan sumber dan minit mesyuarat tertentu.

“Saya akan semak sama ada perjanjian itu wujud. Jika terdapat dokumen yang mengesahkannya, kami akan siasat. Lebih elok jika kami WSJ beri kami salinan minit mesyuarat berkenaan,” kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Najib menyorot perhatian kepada dakwaan mengatakan China akan menggunakan pengaruhnya untuk memastikan Amerika Syarikat dan negara lain menggugurkan siasatan berkaitan 1MDB.

“Seperti dilaporkan oleh WSJ juga, semua negara termasuk AS tidak menghentikan siasatan mereka masing-masing,” katanya.

Mengenai dakwaan Malaysia mengadakan rundingan sulit membenarkan tentera laut China berlabuh, bekas perdana menteri berkata kapal tentera mana-mana negara boleh dan sering berlabuh di pelabuhan negara kerana Malaysia negara berkecuali.

“Ini ialah satu polisi yang sudah dilaksanakan selama berpuluh tahun. Ini termasuk kapal-kapal perang dari AS dan Rusia yang pernah berlabuh di Malaysia.

“Sebagai contoh, kapal perang USS America berlabuh di Sepanggar, Sabah pada Ogos 2017. Pada 2004, Kapal USS Blue Ridge turut berlabuh di Pelabuhan Klang,” katanya.

Mengenai harga projek saluran paip gas yang dianugerahkan kepada China yang didakwa luar biasa tinggi, Najib berkata harganya tidak dipersoalkan sebelum ini.

“Projek saluran gas Trans-Sabah Pipeline yang dianugerahkan kepada syarikat China pada 2016 yang panjangnya 662km bernilai RM4.06 bilion.

“Sebagai perbandingan, projek Sabah–Sarawak Gas Pipeline yang panjangnya 500km yang dianugerah kepada konsortium dari India pada 2008 disiapkan dengan kos RM4.6 bilion,” katanya.

Mengenai harga projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang didakwa luar biasa tinggi, Najib berkata Pakatan Harapan sehingga hari ini tidak membuktikan dakwaan itu.

Najib mengingatkan dia pernah mendesak kerajaan mengeluarkan laporan kebolehlaksanaan ECRL “namun tidak pernah sekalipun mereka jawab”.

“Projek ECRL dicadangkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sejak 2007.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.