DAP Johor cuba lindungi ahli Majlis Daerah Pontian?

DAP Johor cuba lindungi ahli Majlis Daerah Pontian?

DAP hanya hanya sekadar merafak sembah dan pemohonan keampunan apabila Kamarul Ariffin Harris Fadzillah memperlekehkan dan mengejek TMJ.

Berkenaan isu yang tular sejak 2 hari lepas berhubung dengan seorang ahli Majlis Daerah Pontian merangkap pegawai khas wakil rakyat Adun Johor mengeluarkan kenyataan memperlekehkan dan mengejek Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ekoran itu, DAP Johor yang diwakili Tan Hong Pin, setiausaha DAP Johor akhirnya mengeluarkan satu kenyataan media berhubung dengan isu pegawai khasnya yang bersikap biadab dan kurang ajar terhadap TMJ. Bagaimanapun, Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan isu ini sehingga ke hari ini.

Sebagai rakyat Johor, yang membuatkan saya terkilan dan kecewa adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan dari atas hingga ke bawah hanya sekadar merafak sembah dan pemohonan keampunan.

Tetapi tiada langsung dinyatakan di dalam kenyataan tersebut bahawa DAP Johor akan bertindak tegas untuk mengenakan apa-apa tindakan terhadap Kamarul Ariffin Harris Fadzillah yang bersikap biadab dan kurang ajar terhadap institusi diraja Johor walaupun Tan sedar kesilapan tersebut datang daripada Kamarul Ariffin sendiri seperti mana yang dinyatakan dalam kenyataan tersebut.

Bagi saya sekadar permohonan maaf sahaja tidak memadai kerana ia belum membuktikan Kamarul Ariffin benar-benar kesal dan insaf dengan tindakannya. Jika sekadar permohonan maaf, nanti bila-bila sahaja Kamarul Ariffin boleh mengulangi kesalahan yang sama selepas itu mohon maaf lagi kerana tidak ada sebarang tindakan yang serius dan tegas.

Apabila tindakan tegas dikenakan kepada Kamarul Ariffin setidak-tidaknya ia memberi pengajaran kepada individu lain supaya tidak sesuka hati melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah institusi diraja Johor. Jika Kamarul Ariffin tidak dikenakan tindakan tatatertib daripada DAP Johor mahupun kerajaan negeri tidak mustahil perkara yang sama akan berulang kembali pada kemudian hari.

Malah jika benar DAP Johor mahupun kerajaan negeri mendukung perlembagaan negara beraja sudah tentu mereka sedia maklum tindakan apa yang perlu diambil ke atas Kamarul Ariffin. Hal ini kerana pegawai khas tersebut melanggar perlembagaan negara apatah lagi Kamarul Ariffin ialah seorang penjawat awam di negeri Johor.

Jadi perkara ini tidak boleh diselesaikan sekadar permohonan maaf sahaja tetap perlu lebih dari permohonan maaf. Sepatutnya DAP Johor dapat mengambil perhatian terhadap isu ini dan dijadikan sebagai pengajaran di hari mendatang.

Lebih membimbangkan sekiranya Kamarul Ariffin ini akan menjadi salah seorang calon dalam pilihan raya umum ke-15 kelak. Perkara ini tidak siapa yang boleh jangka dan tahu bukan? Jadi sebelum apa-apa terjadi, DAP Johor perlu mengambil tindakan yang tegas dan sewajarnya terhadap Kamarul Ariffin.

Sehubungan dengan itu, kami rakyat Johor mendesak supaya DAP Johor membuktikan kata-katanya dengan mengambil tindakan yang tegas terhadap Kamarul Ariffin agar perkara ini tidak akan berlaku lagi di hari mendatang. Malah martabat dan maruah institusi diraja Johor dapat terus diperlihara dengan baik selepas ini.

* Dhia Hani ialah penyelidik Persatuan Pemikir Muda Johor

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.