
Pengerusi LGM, Sankara Nair berkata, beliau mempunyai “bukti konkrit”, termasuk gambar dan dokumen untuk menunjukkan KWSP tahu tentang penjualan 2,800 ekar tanah di Sungai Buloh pada tahun 2010 pada harga RM1.5 bilion, di bawah harga pasaran RM2.3 bilion.
“Dengan bukti ini, dakwaan KWSP bahawa ia tidak tahu (tentang jualan tanah itu) tidak dapat dipertahankan,” katanya kepada FMT.
Pada 4 Jan, Menteri Industri Utama, Teresa Kok mendakwa pada 2010 LGM menjual 2,800 ekar tanah di Sungai Buloh kepada Aset Tanah Negara Bhd (ATNB), sebuah syarikat tujuan khas milik Kementerian Kewangan pada harga RM1.5 bilion.
ATNB kemudiannya menjual tanah berkenaan kepada Kwasa Land Sdn Bhd milik KWSP pada harga RM2.28 bilion.
Berikutan itu, KWSP menafikan ia tahu mengenai persetujuan antara LGM dengan ATNB sewaktu membeli tanah berkenaan daripada ATNB.
Bagaimanapun Sankara berkata, perjanjian formal ditanda tangani serentak pada 16 Ogos 2011 oleh LGM, ATNB dan Kwasa Land dalam satu majlis rasmi.
“Ini menunjukkan KWSP tahu dan sedar tentang harga jualan tanah LGM itu kepada ATNB.
“Langkah KWSP menafikan perkara ini sekarang adalah salah sama sekali,”
Sankara berkata, LGM juga menyimpan perjanjian bertulis jualan kepada ATNB itu.
“Penjelasan (KWSP) berhubung perkara ini boleh dipersoalkan, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa LGM dirugikan oleh mereka yang terlibat,” katanya.
KWSP berkata, ia membeli tanah ATNB itu pada asas “urus niaga selangan”, dengan menambah usaha wajar yang ketat telah dijalankan sebelum urus niaga itu dibuat.

Sankara berkata, Kwasa sepatutnya membeli tanah berkenaan secara langsung daripada LGM bagi mendapatkan diskaun, bukannya membeli melalui ATNB lalu menyebabkan LGM kerugian sebanyak RM800 juta.
“Bagaimanakah (urus niaga) ini boleh menguntungkan penyumbang KWSP?” soal beliau.
Beliau juga menuduh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan bekas menteri perusahaan perladangan dan komoditi, Tan Sri Bernard Dompok, melanggar tanggungjawab fidusiari mereka.
“Tidak mungkin Bernard Dompok tidak tahu tentang nilai jualan tanah itu,” katanya.
“Beliau merupakan bekas penilai di Jabatan Tanah dan Ukur Sabah dan seharusnya tahu nilai tanah.”
Dompok dilaporkan berkata, jualan tanah di Sungai Buloh itu dibuat atas arahan kerajaan lepas. Beliau berkata, LGM memutuskan untuk melakukan penilaian ke atas tanah berkenaan sebelum bersetuju dengan harga itu.
Katanya, LGM akur kepada keputusan kerajaan supaya tanah berkenaan dipindahkan kepada ATNB.
Sankara berkata, Dompok sepatutnya membantah langkah tersebut kerana ia menyebabkan kerugian di pihak LGM yang berada di bawah kementerian beliau.
“Beliau bertanggungjawab dari segi undang-undang,” kata Nair, dan menambah bahawa ia jelas merupakan kes salah laku penjawat awam.
Sankara juga berkata, Najib tidak perlu “merancang dan menjalankan” skim yang rumit sedemikian dengan membuat jualan tidak langsung melalui pihak ketiga.
“Tidak ada keperluan sama-sekali. Jualan langsung daripada LGM kepada Kwasa Land sudah mencukupi,” katanya.
Beliau berkata, satu saman sivil akan difailkan terhadap Dompok dan Najib bagi mendapatkan semula wang sebanyak RM800 juta itu, dan menambah Najib masih tidak menjawab isu tersebut.
Bagaimanapun Nair meragui wang itu masih ada pada ATNB selepas 7 tahun insiden itu berlaku.
Sankara yang mengambil alih tugas sebagai pengerusi LGM pada Julai tahun lepas berkata, pihak lembaga sudah pasti akan memberikan diskaun sebanyak RM800 kepada KWSP sekiranya ia diarahkan berbuat demikian oleh kerajaan kerana ia akan menguntungkan orang ramai serta KWSP dalam memenuhi keperluan perumahan rakyat.
“Ia sepatutnya tidak dilakukan melalui pihak ketiga, dan kurangan RM800 yang berlaku itu masih tidak dapat dijelaskan sehingga kini.”