Orang Asli Cameron Highlands tidak yakin DAP

Orang Asli Cameron Highlands tidak yakin DAP

Mereka khuatir PH juga tidak tunai janji.

PETALING JAYA:
DAP sukar untuk memenangi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini, ramal aktivis Orang Asli pro Pakatan Harapan (PH).

Presiden Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), Yusri Ahon berkata, peluang DAP untuk menang semakin tipis susulan kegagalan kerajaan menunaikan janji manifesto dan tidak membawa banyak perubahan kepada masyarakat Orang Asli.

Orang Asli membentuk lebih 20% daripada pengundi Cameron Highlands.

“Peluang untuk DAP menang masih 50-50 tetapi setakat hari ini kelebihan masih kepada MIC yang mewakili BN (Barisan Nasional).

“Perkara paling menakutkan apabila perdana menteri mengatakan manifesto bukan sebuah kitab. Itu melemahkan semangat pengundi untuk beralih kepada kerajaan PH,” katanya kepada FMT.

Katanya, sejak PH mengambil alih Putrajaya tidak banyak perubahan yang dilakukan, khusunya untuk Orang Asli, termasuk isu tanah adat.

Kerajaan PH, katanya, perlu melakukan sesuatu sebelum hari membuang undi jika ingin menang kerusi Cameron Highlands .

“Selesaikan isu utama dahulu, iaitu soal tanah adat. DAP perlu berjumpa perdana menteri, bincang soal tanah adat. Baru kita ada alasan untuk yakinkan Orang Asli mengundi PH.

“Bukan mudah untuk ubah mentaliti masyarakat jika daya penarik tidak cukup kuat,” katanya sambil memberi jaminan beliau akan turut membantu calon DAP ketika kempen.

Katanya, selain isu tanah adat, banyak lagi perkara yang Orang Asli perlu diberi perhatian, termasuk isu air bersih, bekalan elektrik dan pendidikan.

“Masih ada rumah Orang Asli yang tidak ada air dan elektrik. Hanya 50% yang ada api dan air,” katanya.

Terdapat kira-kira 4,000 pengundi Orang Asli di Cameron Highlands.

“Ketika era BN, air daripada bukit disalur ke rumah, tetapi dipasang meter. Jadi timbul persoalan kenapa air dari sumber kita, tapi seolah-olah kita kena bayar air kita sendiri.

“Walaupun sekarang belum dikenakan bayaran, bila ada meter benda itu menakutkan Orang Asli.

“Jadi inilah peluang untuk kerajaan PH buang meter air itu supaya nampak ada perubahan dilakukan untuk menarik sokongan,” katanya.

Katanya, permasalahan lain termasuk isu pendidikan Orang Asli yang masih jauh ketinggalan.

“Ada Orang Asli jadi mangsa buli, dipaksa angkut air dan dimandikan dengan air kotor, Kadang-kadang guru yang buat benda ini, bukan orang lain,” katanya,

Pada 4 Jun lepas, calon DAP, M Manogaran memfailkan petisyen memohon perisytiharan keputusan pilihan raya umum pada 9 Mei lalu bagi kerusi Cameron Highlands yang disandang Datuk C Sivarraajh dari MIC terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Berikutan itu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan pilihan raya berkenaan terbatal.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pada 28 Disember lalu, mengesahkan Sivarraajh yang merupakan naib presiden MIC tidak layak bertanding dalam PRK itu.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran dan 3 calon lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.