Guan Eng main politik bercakap tentang hutang kami, kata menteri Sarawak

Guan Eng main politik bercakap tentang hutang kami, kata menteri Sarawak

Kerajaan Sarawak mengutip RM4.6 juta cukai pelancongan dari Sept 2017 hingga Sept 2018.

Abdul Karim Rahman berkata, Sarawak belum menerima bahagiannya daripada hasil cukai pelancongan. (Gambar File)
PETALING JAYA:
Seorang menteri Sarawak mengkritik Lim Guan Eng selepas menteri kewangan itu menuntut negeri berkenaan membayar hutangnya sebanyak RM2.5 bilion terlebih dahulu sebelum meminta bahagiannya daripada hasil cukai pelancongan.

“Kenapa Guan Eng perlu emosional dan marah sekali gus meminta Sarawak membayar balik hutangnya yang tertunggak kepada kerajaan persekutuan sedangkan ia tiada kaitan dengan isu yang diperkatakan,” kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Jadilah seorang budiman dan tangani isu itu secara profesional,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, bahagian Sarawak ke atas hasil cukai itu tidak harus dinafikan.

Katanya, kerajaan negeri mengutip RM4.6 juta cukai pelancongan dari Sept 2017 hingga Sept 2018, dan separuh daripadanya dijanjikan akan dipulangkan kepada Sarawak bagi membolehkan negeri itu menjalankan program pembangunan pelancongan.

Karim juga mempersoalkan keengganan Lim mengembalikan wang itu kepada Sarawak sedangkan Putrajaya telah membayar Sabah.

Lim dalam kenyataannya semalam berkata, akaun hasil cukai pelancongan tahun lepas akan dimuktamadkan dalam masa terdekat, dan 50% daripadanya diagihkan kepada kerajaan negeri dalam suku pertama tahun ini.

Beliau bagaimanapun mengkritik Karim kerana mempersoalkan langkah kerajaan persekutuan tidak memulangkan bahagian negeri itu daripada hasil cukai pelancongan yang dikutip.

Karim mendesak Lim supaya tidak “bermain politik”.

“Lakukan kerja terbaik anda bagi memperbaiki ekonomi Malaysia, termasuk untuk Sarawak.

“”Menafikan bahagian kami ke atas cukai pelancongan tidak membantu industri pelancongan Sarawak, maupun ekonomi Malaysia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.